P. Pinang sasar RM6.1 bilion FDI 2011

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mensasarkan RM6.1 bilion pelaburan asing langsung (FDI) bagi 2011 walaupun negeri berkenaan pada tahun lepas mencatatkan RM12.2 bilion FDI, iaitu tertinggi dalam negara.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika membentangkan Bajet Negeri Pulau Pinang Tahun 2012 berkata, sasaran yang lebih rendah itu demi membolehkan infrastruktur dan sumber terutamanya modal insan dapat memenuhi permintaan pelaburan yang mendadak pada tahun lepas.

“Pulau Pinang telah mensasarkan RM6.1 bilion pelaburan untuk tahun 2011 melalui sektor-sektor penting yang bernilai tinggi dan industri berasaskan pengetahuan yang dapat menghasilkan pendapatan yang tinggi,” ujarnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu bagaimanapun berkata, Kerajaan Negeri menggariskan tujuh faktor kejayaan bagi memantapkan peningkatan pelabur asing yang sedia ada.

Antaranya :

i. Urus tadbir yang baik dan kepimpinan berwibawa;
ii. Memiliki tenaga kerja yang berbakat bagi pertumbuhan ekonomi negeri;
iii. Bandar raya paling baik didiami Malaysia yang menjadi pilihan pakar profesional;
iv. Jaminan perlindungan harta intelek;
v. Memiliki hub logistik yang cekap;
vi. Pengurusan rantaian bekalan yang kompeten; dan
vii Usaha memupuk kreativiti dan inovasi dalam bidang sains dan teknologi

Memetik perangkaan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, beliau berkata, sejumlah RM4.6 bilion pelaburan yang membabitkan 56 projek telahpun diluluskan Kerajaan Negeri.

Perangkaan itu, menurut beliau lagi, sekaligus meletakkan Pulau Pinang kekal di tempat teratas kerana berjaya menarik 22.7 peratus dari FDI negara.

Pada tahun 2009, FDI Pulau Pinang sebanyak RM2.2 bilion sahaja. Jumlah FDI tahun lepas sebanyak RM12.2 peratus memperlihatkan Pulau Pinang menyumbang 36 peratus kepada keseluruhan FDI negara walaupun rakyat negeri berkenaan hanya 6 peratus dari populasi rakyat Malaysia.

Sasaran FDI yang agak sederhana itu sekaligus mencerminkan Bajet Negeri Pulau Pinang Tahun 2012 adalah suatu belanjawan yang realistik dengan mengambil kira senario persekitaran ekonomi semasa selain ditimbang dengan rekod kejayaan yang sedia ada.