P. Pinang terima jemputan rasmi SUKMA

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menerima kunjungan rakan sejawat dari Perlis di pejabatnya di sini baru-baru  ini.

Menteri Besar Perlis, Azlan Man berkata, kunjungan hormat itu antara lain sebagai mempromosi Sukan Malaysia (SUKMA) Ke- 17 selama 12 hari bermula 24 Mei ini di negeri berkenaan.

“Perasmian pembukaan pada 26 Mei akan dirasmikan oleh D.Y.M.M. Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail), manakala Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak) akan hadir untuk perasmian penutup.

“Dengan jemputan rasmi kepada Ketua Menteri (Guan Eng) pada hari ini, kita (Kerajaan Negeri Perlis) berharap lebih ramai orang Pulau Pinang sendiri berkunjung ke Perlis nanti… bukan sahaja untuk menyertai SUKMA, tetapi, juga untuk melancong ke Perlis,” ujarnya pada majlis ringkas tersebut.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) turut menyertai majlis itu.

Manakala, delegasi Kerajaan Negeri Perlis  pula disertai Exco Belia & Sukan, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Abdul Jamil Saad, Romli Dai (Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis) dan Asmaiza Ahmad (Ahli Dewan Undangan Negeri Chuping).

Guan Eng dalam kenyataannya melahirkan penghargaan kepada delegasi Kerajaan Negeri Perlis atas jemputan rasmi ke SUKMA Ke-17 2014 itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng turut menyambut baik hasrat rakan sejawatnya untuk kedua-dua pihak mengadakan kerjasama strategik dalam sektor pelancongan dan sukan di negeri masing-masing.

Difahamkan, 19 sukan wajib dipertandingkan pada SUKMA kali ini, iaitu, akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, bola sepak, boling padang, gimrama, hoki, karate, memanah, menembak, olahraga, pencak silat, perahu layar, sepak takraw, skuasy, tenpin boling, taekwondo dan wushu.

Itu, tidak termasuk lima sukan pilihan iaitu, golf, kanu, petanque, tenis dan tinju.

“Tomoi sebenarnya adalah antara sukan tradisional yang cukup popular di Utara (Semenanjung Malaysia) seperti di Perlis, juga di Pulau Pinang.

“Mungkin, ia perlu dikaji (sebagai sukan pilihan) dalam SUKMA kerana sukan ini mempunyai ramai peminat tersendiri di negara ini, bagus untuk sukan pelancongan,” seloroh Guan Eng.