Usahawan berdaya saing diberi perhatian – Rashid

Admin

SEBERANG JAYA – Timbalan Ketua  Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, pihaknya akan memberi perhatian lebih kepada usahawan yang berdaya saing serta berpontensi untuk membawa nama Pulau Pinang ke luar negeri.

Menurut beliau, enam usahawan dari pelbagai kaum yang dipilih menyertai Karnival Keusahawanan di Sarawak sebelum ini adalah ekoran masing-masing memenuhi kriteria digariskan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Keusahawanan.

“Yang terbaik dan berdaya saing, kita akan bawa mereka ke luar negeri jika ada kesempatan nanti,” jelasnya semasa merasmikan penutupan Majlis Karnival Keusahawanan dan Flora (Orkid) 2014 di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Jusni Ismail dan pemimpin-pemimpin beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) negeri turut hadir pada majlis itu.

Mengulas mengenai kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang terus membebankan rakyat, Mohd. Rashid berkata, pihaknya yakin lebih ramai lagi akan menceburi bidang keusahawanan.

Justeru, beliau memberitahu, inisiatif MMK Keusahawanan menganjurkan karnival seumpama ini adalah menepati keperluan usahawan sekarang iaitu untuk mempromosi serta mengembangkan pasaran produk masing-masing.

“Kita menyedari keadaan ekonomi sekarang. Kerana itu, kita menganjurkan karnival seperti ini untuk memberi sokongan kepada para usahawan,” ujar Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi & Perhubungan Masyarakat.

Difahamkan, karnival julung kali dianjurkan Persatuan Anak Bangsa Malaysia (PABM) bersama Kerajaan Negeri berlangsung selama lima hari membabitkan para usahawan orkid.