P. Pinang tetap pertahan status warisan dunia – KM

AIR PUTIH – Kerajaan Negeri akan tetap mempertahankan status George Town sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia yang diperoleh daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (UNESCO).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian ketika diajukan soalan berhubung tindakan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Penang Forum yang mengutuskan surat kepada UNESCO World Heritage Centre di Paris, kononnya Tapak Warisan Dunia George Town berkemungkinan dalam bahaya ekoran cadangan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

Ujarnya, tindakan tersebut adalah melibatkan seluruh rakyat Pulau Pinang.

“Kalau tak suka PIP, takkan sampai nak gugat status (George Town) sebagai tapak warisan dunia,” katanya yang kesal dengan tindakan gabungan 12 NGO itu.

Jelas Guan Eng, di Melaka, pembinaan jajaran monorail adalah dalam kawasan tapak warisan dunia.

“Sedangkan di Pulau Pinang, cadangan jajaran LRT (aliran transit ringan) adalah di luar kawasan tapak warisan dunia.

“NGO-NGO ini kenalah adil, kenapa di Melaka tak ada orang cakap apapun, kenapa di Pulau Pinang pula isu.

“Apa yang lebih dikesali, orang Pulau Pinang sendiri yang ingin membatalkan (status) tapak warisan dunia. “Rasa macam ditikam dari belakang,” ulas beliau.

Guan Eng dalam pada itu memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan terus mempertahankan status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan terus pertahankan status tapak warisan dunia ini walaupun cuba ‘dirampas’ oleh NGO-NGO terbabit,” katanya sejurus merasmikan Kempen Pengasingan Sisa di Punca bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih 14 Ogos lalu di sini.