‘Terima kasih Kerajaan Negeri di atas pengiktirafan kepada kami’

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF & AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Semangat kerjasama dan perpaduan pelbagai pihak bagi menangani masalah banjir yang berlaku pada 18 dan 19 Julai lalu di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Teluk Bahang dan beberapa lokaliti lain sekitar KADUN Bayan Lepas dan Batu Maung disifatkan sebagai tindakan proaktif dalam membantu mangsa dan kawasan terlibat.

Tidak ketinggalan, Skuad 3D (Dirty, Dangerous and Difficult) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang berpenat-lelah menjalankan kerja-kerja pembersihan banjir di kawasan berkaitan sejurus kejadian.

Bagi M. RAMANATHAN, 59, tugasnya sebagai seorang Pekerja Am di bawah Skuad 3D Majlis Bandaran Pulau Pinang (MBPP) tidak semudah yang disangka, banyak aspek perlu diberi perhatian terutamanya ketika melaksanakan gerak kerja pembersihan di kawasan bencana.

“Sebaik kejadian (banjir), kami (Skuad 3D) dikerah ke lokasi.

“Keadaan (banjir) agak teruk dengan arus air yang deras, sampah bercampur, pokok dan tiang tumbang. tetapi kami sedaya upaya bertungkuslumus membersihkan kawasan sekitar hingga jam 2 pagi,” ujarnya sambil menyifatkan kejadian seperti itu tidak sesekali melunturkan semangatnya yang telah 28 tahun berkhidmat dengan MBPP untuk sama-sama membantu menjaga keharmonian negeri.

Beliau yang merupakan salah seorang penerima Pingat Jasa Masyarakat (PJM) ditemui sejurus selesai Majlis Penganugerahan Darjah-darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun TYT Yang Dipertua Negeri ke- 78 bertempat di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.

Perkara sama turut dilalui rakan sekerjanya, S. GOVINDASAMY, 59, ketika berdepan situasi cemas menghadapi kejadian tsunami pada Disember 2004 dan runtuhan antena Menara UMNO di Jalan Macalister (Jun 2013).

“Walaupun terpaksa bergemulang dengan lumpur tebal di kawasan bencana, kami masih perlu berhati-hati dan bijak tangani risiko dan bahaya di kawasan terjejas,” kata beliau yang tidak menyangka dengan pencalonan PJM yang diterimanya.

Seramai lapan kakitangan MBPP dari Skuad 3D menerima anugerah PJM sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-78 TYT baru-baru ini.

Turut berkongsi pengalaman, IBRAHIM GHANY ABD. HAMID, 54, dari Jalan Patani yang menceritakan detik cemas beliau kemalangan ketika sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di sekitar Padang Kota di sini tidak lama dulu.

“Walaupun sekadar menyapu di bahu jalan, kami sentiasa dalam keadaan berisiko dilanggar oleh kenderaan yang lalu-lalang,” ujarnya yang turut ditemani isteri, Najmunnisa Shahul Hamid, 47, baru-baru ini.

Sementara itu, Pekerja Am Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), WAZMI JOHARI ABDUL RAHIM, 43, dari Tanah Liat, Bukit Mertajam, berasa terharu dengan pengiktirafan yang diterima.

“Terima kasih kepada YDP (Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif) dan Kerajaan Negeri kerana mengiktiraf kami Pekerja Am 3D.

“Pastinya, pengiktirafan ini memberi suntikan semangat untuk terus berkhidmat untuk masyarakat dan negeri Pulau Pinang,” katanya yang telah berkhidmat selama 11 tahun di Jabatan Perkhidmatan Kesihatan (Kawalan Vektor), MPSP.

Wazmi Johari yang hadir bersama-sama isteri, Aminah Abu Bakar, 43, mengakui bahawa dia pernah diherdik serta dimaki tatkala melaksanakan tugas pemeriksaan tempat-tempat pembiakan nyamuk.

“Namun, semua itu saya anggap sebagai sebahagian daripada cabaran getir yang harus ditempuhi apabila berdepan dengan masyarakat,” katanya.

Wazmi Johari antara sembilan penerima PJM bagi MPSP. Manakala seorang lagi menerima Pingat Jasa Kebaktian.

Syabas dan ribuan terima kasih SKUAD 3D MBPP, MPSP!