GTWHI urus tadbir tapak arkeologi Sia Boey, respons PDC

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) melantik George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) untuk mengurus, mengendali dan mentadbir kerjakerja berwajib di pasar lama Sia Boey di sini.

Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar berkata, GTWHI kemudiannya akan mentadbir urus sebarang urusan berkaitan tapak Sia Boey termasuk soal keselamatan tapak dengan pakar perunding dilantik dari Universiti Sains Malaysia (USM).

“Pihak PDC telah melantik USM membuat kajian arkeologi di tapak Sia Boey bermula Jun 2016 untuk mengemukakan laporan lengkap…dijangka pada bulan November nanti,” ujarnya pada sidang media di Komtar baru-baru ini.

Menurut Rosli, sehingga kini, pihaknya masih belum menerima apa-apa laporan daripada USM termasuk laporan interim dan laporan proses carbon dating (pentarikhan karbon).

“Pihak kita (PDC) masih belum terima laporan interim dan proses carbon dating pun masih belum selesai…masih di peringkat awal.

“Nanti kita (PDC) akan mengetengahkan kepada umum apabila (laporan-laporan interim dan proses carbon dating) selesai kelak.

“(Sesungguhnya) laporan-laporan ini penting bagi membolehkan Kerajaan Negeri tahu apa yang patut dilakukan bagi menguruskan tapak tersebut.

“Kita (PDC) tidak boleh nak membuat sebarang spekulasi selagi laporan lengkap tidak diterima,” responsnya.

Terdahulu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengumumkan keputusan Mesyuarat Exco pada 10 Ogos 2016 yang sebulat suara bersetuju untuk menyerahkan tapak tersebut kepada PDC.

“Exco hari ini (10 Ogos) telah bersetuju supaya tapak Sia Boey ini diserahkan kepada pihak PDC untuk dikawal selia dan diurus dengan cekap,” ujarnya yang turut serta dalam sidang media berkaitan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai antara yang turut serta dalam sidang media tersebut.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);