P. Pinang, tiada tempat untuk pengamal rasuah – KM

Admin

SUNGAI PINANG – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyifatkan bahawa Malaysia mampu menjadi ‘lebih baik’ dalam pelbagai aspek sekiranya kekayaan negara diagihkan secara saksama kepada rakyat.

“Sumber ekonomi perlu dikongsikan secara adil dan bukan hanya dimonopolioleh pihak tertentu. Siapa jujur, maka dia mempunyai tempat di Pulau Pinang dan tiada tempat untuk orang malas serta pengamal rasuah di sini (Pulau Pinang).

“Kita (Pulau Pinang) juga menekankan pembangunan generasi muda bagi memastikan masa depan Pulau Pinang yang lebih cerah, maju dan mencapai taraf antarabangsa,” ucapnya pada Majlis Memoriam Sempena Ulang Tahun Pertama Pemergian Mendiang Karpal Singh di Persiaran Karpal Singh di sini baru-baru ini.

Hadir sama, ahli keluarga mendiang, barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahliahli Parlimen dan Ahli-ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Serentak itu, anak sulung mendiang Karpal, Jagdeep Singh Deo yang juga Exco Perancang Bandar & Desa dan Perumahan mencadangkan supaya menamakan empat tiang yang terdapat di Persiaran Karpal Singh di sini sebagai empat teras perjuangan bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkaitan.

“Teras perjuangan yang dimaksudkan adalah keberanian (courage), kekuatan (strength), prinsipal (principle) dan harapan (hope).

“Di samping itu, saya mewakili pihakkeluarga turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri yang turut sama merealisasikan penganjuran memoriam ini,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat.

Jagdeep dalam pada itu turut mengajak rakyat untuk bangun dan menyambung perjuangan menegakkan keadilan yang sering diperjuangkan oleh mendiang bapanya.

Sebelum itu, acara berbasikal dari Lebuhraya Thein Teik ke Persiaran Karpal Singh turut disertai barisan kepimpinan Kerajaan Negeri termasuk Guan Eng.