Ubah sikap, pulihara Sungai Pinang – Exco

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

SUNGAI PINANG – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow menyeru warga Pulau Pinang terutamanya yang menetap berhampiran Sungai Pinang serta sektor industri di sini supaya peka dan mengubah sikap bagi meningkatkan kualiti kebersihan saliran berkenaan.

Katanya, tiada gunanya sekiranya usaha Kerajaan Negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membelanjakan sejumlah wang, namun tiada perubahan sikap.

“Kita perlu tangani pencemaran ini bermula dari sumber pencemaran Sungai Pinang. Ini kerana, walau apa pun isu yang melanda, selagi tidak ditangani dari sumber, semua usaha ini akan gagal.

“Pihak Kerajaan Negeri serta JPS tidak akan dan pernah berputus asa untuk mengawal pencemaran yang sering dilaporkan demi mencapai piawaian (sungai) memuaskan hati,” ujar beliau ketika mengadakan lawatan sebagai inisiatif meninjau keberkesanan perangkap sampah yang dipasang di Sungai Pinang baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri sungai Pinang, Lim Siew Khim, Timbalan Pengarah JPS, Khuzai Hussain dan Jurutera JPS Daerah Timur Laut, Haslinda Hamran.

Menurut Haslinda, JPS membelanjakan kira-kira RM200,000 setahun bagi membersihkan lima perangkap sampah yang dipasang di Sungai Pinang.

“Pada tahun 2013, sebanyak 15 tan sampah dipungut daripada perangkap sampah, 2014 (50 tan) dan bagi Januari hingga Mac 2015 (50.158 tan),” jelasnya.

Tambah beliau, kutipan sampah dijalankan setiap hari melibatkan dua sesi iaitu 9 pagi hingga 11 pagi dan 2 petang hingga 4 petang.

“Bagi masa terdekat, JPS akan mengorek lumpur-lumpur di tebing Sungai Pinang bagi melancarkan aliran air serta membersihkan sisasisa sampah yang tersangkut,” kata Haslinda.

Mengulas mengenai perangkap sampah yang dinaiktaraf, Khuzai memberitahu bahawa hasilnya kini sudah boleh dinilai.

“Pada tahun 2014, rumah pam JPS kerap mengalami kerosakan akibat tersangkut sampah, kini pada tahun 2015, kerosakan sebegitu belum terjadi dan pungutan sampah didapati telah meningkat.

“Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa perangkap sampah yang dinaiktaraf ini adalah berkesan,” ujarnya.