P. Pinang tuan rumah Asia Pacific Masters Games 2018

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menjadi tuan rumah sulung di rantau Asia Tenggara untuk penganjuran Asia Pacific Masters Games 2018 dengan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.5 juta untuk kejohanan antarabangsa tersebut, selain RM1 juta lagi dari Malaysia Major Events Division (MME).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, penganjuran kejohanan itu nanti diharap akan memberi kesan berganda (multiplier effect) lebih RM10 juta kepada sektor pelancongan serta aktiviti ekonomi di negeri ini.

“Pelancongan sudah pasti merupakan salah satu enjin penggerak ekonomi Pulau Pinang.

“Kami (Kerajaan Negeri) jangka akan dapat mengutip sekitar RM2 juta daripada pendaftaran dan pakej yuran, manakala subpenganjur lain digalakkan untuk mencari tajaan bagi tempat (penginapan) masing-masing,’’ jelasnya pada majlis menandatangani usahasama penganjuran kejohanan tersebut, di sini baru-baru ini.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng mewakili Kerajaan Negeri dalam majlis tandatangan usahasama itu bersamasama Ketua Pegawai Eksekutif International Masters Games Association (IMGA) sebagai pihak tuan rumah penganjur antarabangsa serta Pengurus Besar MME, Tony Nagamaiah, mewakili Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) langsung di bawah MME.

Turut menyaksikan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM) Y.A.M Tuanku Tan Sri Imran Ibni Al-Marhum Tuanku Ja’afar Al-Haj yang juga anggota International Olympic Council (IOC), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Dato’ Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) serta wakil kepada Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz.

Ketika berucap, Tuanku Tan Sri Imran turut melahirkan harapan bahawa kejohanan tersebut akan membawa lebih ramai pengunjung tempatan serta pelancong asing untuk menikmati keindahan nilai warisan bersejarah yang terdapat di Pulau Pinang, khususnya Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Nada sama turut dikongsi oleh Chong Eng ketika menyampaikan ucapan alu-aluan, sebagai negeri ‘tuan rumah’.

“Kira-kira 22 acara akan dipertandingkan seperti bola sepak, badminton, olahraga, hoki, ping pong, maraton, bola tampar, skuasy, lumba basikal, bola keranjang, tenis, bot naga, bola jaring, wushu, renang, ragbi, karate, tenpin boling, golf, menembak dan sebagainya.

“Melalui penganjuran sulung Asia Pacific Masters Games yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada tahun 2018, kita (Kerajaan Negeri) akan memberi tumpuan untuk menarik seramai mungkin penyertaan daripada benua Asia dan negara-negara jiran Malaysia, seperti Australia.

“Kita jangka akan menerima kira-kira 5,000 penyertaan, (termasuk) 3,000 penyertaan antarabangsa.
“Saya percaya dengan komitmen Kerajaan Negeri serta sokongan persatuan sukan seperti MSN (Majlis Sukan Negeri), KBS (Kementerian Belia & Sukan), OCM, IMGA dan PGT (Penang Global Tourism) dan Tourism Malaysia, kita boleh menjadikan acara ini suatu kejayaan yang tidak dapat dilupakan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Difahamkan, Asia Pacific Masters Games merupakan kejohanan acara sukan pelbagai yang dianjurkan empat tahun sekali, melibatkan penyertaan mereka yang berusia 35 tahun dan ke atas.

Kali pertama kejohanan itu dianjurkan pada tahun 1985 di Toronto, dekat Canada dan Pulau Pinang menjadi tuan rumah pertama di Asia Tenggara pada tahun 2018.