Dua sahabat selamat mangsa lemas terima penghargaan

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Dua sahabat yang merupakan kaki pancing menerima penghargaan daripada Kerajaan Negeri berikutan tindakan berani mereka menyelamatkan seorang lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang dan hampir lemas pada 13 November lalu.

Mohd. Razis Othman, 28, dan P. Jaya Kumar, 26, masing-masing menerima sumbangan wang tunai bernilai RM500 beserta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Komtar baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng.

Menceritakan detik cemas, Mohd. Razis berkata, pada 13 November lalu sekitar pukul 1 tengah hari, dia dan sahabatnya yang sedang memancing di bawah Jambatan Pulau Pinang terkejut apabila terdengar kocakan air yang kuat.

“Mulanya kami sangka ikan besar, saya pun rasa seronoklah, tetapi selepas mendengar jeritan pemancing lain berdekatan sambil menunjuk ke arah kocakan besar, baru saya sedar rupanya ada seorang lelaki yang sedang terkapai-kapai.

“Terus Jaya Kumar menghidupkan enjin bot dan menuju ke arah mangsa… mujur kami sempat capai tangannya, kalau lambat sikit mesti lelaki terbabit tenggelam dan mungkin tidak dapat diselamatkan,” katanya kepada Buletin Mutiara baru-baru ini.

Tambah Mohd. Razis, peristiwa itu merupakan pengalaman pertama mereka sungguhpun sudah memancing di bawah Jambatan Pulau Pinang sejak zaman persekolahan lagi.

“Memang terkejut, belum pernah lagi kejadian sebegitu berlaku,” jelasnya yang kemudian membawa mangsa ke Jeti Polis Marin Wilayah Utara dekat Batu Uban untuk tindakan seterusnya.

Dalam pada itu, bagi Jaya Kumar melahirkan rasa gembira kerana berjaya menyelamatkan mangsa dari terus lemas dan hanyut.

“Memang panik, tapi kami tenang dan berusaha menyelamatkan mangsa.

“Kami tarik mangsa masuk ke dalam bot dan kami tengok perut mangsa sudah kembung, mujur kami sempat selamatkan mangsa, kalau tidak, tak tahu apa nasib mangsa.

“Peristiwa ini akan menjadi kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan,” ujarnya.

Jaya Kumar merupakan pekerja kilang manakala Mohd. Razis pula bekerja di sebuah syarikat swasta kawalan serangga perosak.

Kedua-kedua mereka kerap meluangkan masa cuti hujung minggu dengan memancing di bawah Jambatan Pulau Pinang menggunakan bot gentian kaca milik bapa Mohd. Razis.

Sementara itu, Guan Eng ketika menyampaikan sumbangan penghargaan melahirkan rasa kagum atas keberanian kedua-dua ‘wira’ tersebut.

“Sebagai menghargai jasa dan keberanian dua sahabat ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat berbesar hati menyerahkan sumbangan wang tunai dan sijil sebagai penghargaan.

“Terima kasih kerana berani menyelamatkan mangsa yang hampir lemas,” ujar beliau.

Keberanian kedua-dua sahabat ini turut dilaporkan dalam akhbar arus perdana pada 14 November lalu.

Orang ramai yang ingin melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04- 262 6146 atau hubungi Malaysian Emergency Response System (MERS) di talian 999.