Padang baharu lengkapkan kemudahan sukan SJKT Bayan Lepas

Admin
c48478a0 c92d 4d1f 9391 e74d4f6ab00a

BAYAN LEPAS – Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bayan Lepas kini mempunyai padang sendiri selepas lebih lapan dekad penubuhannya, sekali gus melengkapkan kemudahan sukan dan kokurikulum institusi pendidikan berkenaan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, perasmian padang baharu itu amat bermakna memandangkan SJKT Bayan Lepas yang ditubuhkan pada 1944 sebelum ini tidak pernah mempunyai padang sendiri untuk kegunaan murid.

“Kewujudan padang tersebut bukan sekadar melengkapkan kemudahan sekolah, malah menjadi sebahagian daripada sejarah institusi pendidikan berkenaan.

“Padang ini bukan sekadar tempat untuk bersukan, lebih penting, ia merupakan ruang untuk membentuk disiplin, keyakinan diri, semangat berpasukan, kepimpinan dan daya juang dalam kalangan anak-anak kita,” ujarnya ketika merasmikan Padang Baharu SJKT Bayan Lepas di sini pagi tadi.

99616870 d749 4c04 b23d 3b062d6d28d2

Turut hadir, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz; Pengerusi OHM Group, Datin Ooi Seok Eng; barisan guru; Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah; Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan ibu bapa.

420f90df 9538 43a5 a2b1 92435e103ab8

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Sundarajoo merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil,  atas inisiatif, komitmen dan usaha membantu merealisasikan penyediaan padang baharu berkenaan.

d2fec351 755c 4364 a50e eb258bb59663

“Penghargaan turut diberikan kepada Seok Eng serta pihak OHM Group atas kesudian menyediakan tanah lapang untuk dimanfaatkan pihak sekolah sebagai padang.

“Sumbangan ini merupakan contoh terbaik tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan keprihatinan sektor swasta terhadap pembangunan pendidikan.

“Apabila kerajaan, pihak sekolah, komuniti, ibu bapa serta sektor swasta berganding bahu, sesuatu yang diimpikan dapat direalisasikan demi manfaat anak-anak kita,” ujarnya.

Tambah Kon Yeow, usaha memperkukuh kemudahan sekolah Tamil di Pulau Pinang turut diteruskan apabila Kerajaan Negeri menyalurkan RM2.42 juta kepada 28 SJKT pada tahun ini bagi menyokong keperluan serta meningkatkan kemudahan sekolah.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada isu pemilikan tanah sekolah Tamil dengan sasaran agar kesemua 28 SJKT di Pulau Pinang mempunyai tanah sendiri bagi menjamin kelangsungan pembangunan sekolah pada masa hadapan.

“Saya berharap pihak sekolah dapat memanfaatkan padang baharu ini sepenuhnya menerusi aktiviti sukan, kokurikulum, latihan dan pelbagai program pembangunan murid.

“Kepada anak-anak murid SJKT Bayan Lepas, gunakanlah padang ini dengan sebaik-baiknya dan jagalah kemudahan ini dengan penuh tanggungjawab.

“Adalah menjadi harapan saya juga bahawa daripada padang ini akan lahir lebih ramai atlet berbakat yang suatu hari nanti mampu mengharumkan nama SJKT Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Malaysia,” katanya merangkap ADUN Padang Kota.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : ALISSALA THIAN