Pagar baru kubur Islam cegah ceroboh haiwan liar

Admin
MOHD. Salleh Man menunjukkan bahagian tanah perkuburan Islam yang menerima hakisan tanah disebabkan tiada tembok berpagar dibina sehingga hampir mencecah bumbung rumah seorang penduduk setempat di sini.
MOHD. Salleh Man menunjukkan bahagian tanah perkuburan
Islam yang menerima hakisan tanah disebabkan tiada tembok
berpagar dibina sehingga hampir mencecah bumbung rumah
seorang penduduk setempat di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PERMATANG PASIR – Pagar konkrit dan dawai sepanjang 180 meter akan dibina mengelilingi tanah perkuburan Islam Bukit Indera Muda, di sini bagi mencegah haiwan liar daripada menceroboh liang lahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man berkata, isu malar segar sejak 1980-an itu diselesaikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekarang hasil daripada permohonan penduduk setempat sebelum ini.

Tambah beliau, kawasan berkenaan turut menerima hakisan tanah kerana kedudukannya di kaki bukit.

“Masalah ini sejak penghujung 1980-an lagi.

“Tender projek secara terbuka sedang dijalankan. Kerajaan Negeri (sekarang) memberi peruntukan yang besar, hampir RM100,000 supaya liang (lahad) di tanah kubur ini tidak lagi diceroboh babi hutan,” ujarnya pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Pegawai Tadbir Agama Daerah SeberangPerai Tengah (SPT), Naser Osman dan Saiful Azli (Penolong Pegawai Daerah Bahagian Pembangunan) turut menyertai lawatan kerja tersebut.

Mohd. Salleh yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, projek naik taraf tersebut dijangka siap sebelum Hari Raya Korban.

Beliau kemudiannya turut meninjau mimbar khutbah Jumaat berusia 166 tahun di Masjid Jamek Permatang Pasir bersama pengerusi masjid itu, Md. Daud @ Che Daud Hassan.

“Mimbar ini akan kita rujuk pada ke (Jabatan) Warisan (Negara) untuk mendapatkan peruntukan baik pulih dan pulihara,” ujar beliau.