Universiti di Kg. Genting projek kerajaan pusat – KM

Admin
KETUA Menteri dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman (kanan sekali) menunjukkan salinan surat Idris Jala sambil diperhatikan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abd. Halim Hussain pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri dan Timbalan Ketua Menteri
I, Datuk Mansor Othman (kanan sekali)
menunjukkan salinan surat Idris Jala sambil
diperhatikan Speaker Dewan Undangan
Negeri, Datuk Abd. Halim Hussain pada majlis
sidang media di sini baru-baru ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWNHasrat kerajaan pusat membina AWLU ataupun Asian Women Leadership University di Kampung Genting, Balik Pulau mendorong lebih 40 pemilik tanah dari pelbagai bangsa mengadakan pertemuan tertutup dengan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Rata-rata mereka melahirkan perasaan bimbang sekiranya kepentingan hartanah serta hak penempatan mereka diabaikan kelak di sebalik projek mega kendalian Kementerian Pengajian Tinggi itu.

Guan Eng bagaimanapun berkata, tanah kampung berkenaan dipilih oleh AWLU (projek kerajaan pusat) untuk menubuhkan sebuah universiti wanita yang pertama dan terunggul di benua Asia.

Kerajaan Negeri telah diminta oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk memudah cara penubuhan AWLU dengan mengambil tanah seluas 100 ekar itu berdasarkan Akta Pengambilan Balik Tanah, 1960. Surat berkenaan diberikan secara hitam putih kepada Ketua Menteri pada tanggal 12 Jun lepas.

Tidak cukup dengan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri sedaya upaya akan memastikan hak serta kepentingan penduduk asal di kampung berkenaan tidak akan diabaikan oleh kerajaan pusat sepanjang proses pengambilalihan itu dilakukan.

Proses pengambilan akan dilakukan mengikut undang-undang dengan bayaran pampasan mengikut harga yang ditetapkan oleh Jabatan Penilaian Harta di bawah Kementerian Kewangan.

“Saya telah meminta DO (Pegawai Daerah) menyelesaikan proses pengambilalihan tanah ini seperti yang diminta oleh kerajaan persekutuan,” ujarnya di Komtar di sini baru-baru ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus dan Datuk Abdul Halim Hussain (Speaker Dewan Undangan Negeri) turut hadir dalam majlis dialog dua hala tersebut.

Pengambilan tanah seluas kira-kira 100 ekar tanah berkenaan melibatkan 10 rumah kampung serta dusun-dusun. Sebanyak 39 ekar tanah dimiliki Melayu dan 59 ekar lain dimiliki orang Cina.

“Jika tidak berpuas hati dengan taksiran nilai tanah yang dikemukakan oleh Jabatan Penilaian Harta (melalui Kementerian Kewangan), proses rayuan boleh dibuat selama 42 hari (hatta) pemilik tanah boleh membuat rayuan kepada mahkamah untuk harga yang lebih tinggi,” ujar Ketua Menteri sambil mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima surat pernyataan hasrat kerajaan pusat melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Datuk Sri Idris Jala pada 18 Jun lepas.

Difahamkan , cadangan membina universiti yang dikhususkan untuk kaum wanita tersebut dikatakan turut menerima sokongan padu daripada beberapa universiti terkemuka dunia seperti Smith College dari Amerika Syarikat.

Disebabkan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri dilaporkan telahpun meluluskan projek AWLU itu ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai hub pendidikan. Projek AWLU itu mula diwartakan pada Ogos 2010 dan proses rundingan antara pihak berwajib dari kerajaan pusat dengan penduduk kampung berkenaan dijadualkan bermula pada hujung Julai ini.

“Sungguhpun projek AWLU adalah daripada kerajaan pusat, saya menyokong penuh apa jua hasrat untuk pendidikan kerana itu bermakna dan penting untuk generasi hadapan dan saya harap tuan punya tanah dapat menerimanya (hasrat pusat) sungguhpun mereka rasa kurang senang hati.

“Oleh kerana masa depan anak-anak kita hanya terjamin dengan pendidikan cemerlang, maka, Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) rela ketepikan perbezaan politik dan bekerjasama dengan kerajaan pusat demi kepentingan rakyat.

“Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) tidak mahu perkara ini dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, tetapi berusaha mencari penyelesaian elok untuk semua pihak termasuk tuan tanah,” jelas Guan Eng.

Sementara itu, dalam kenyataan lain dikeluarkan di Komtar di sini baru-baru ini, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan sekali lagi meminta AWLU dan kerajaan persekutuan untuk menimbang semula tapak tanah seluas 100 ekar yang lain daripada tapak dipilih kini ekoran taktik politik kotor daripada UMNO, khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad.

Ini kerana, menurutnya, Muhammad Farid menggunakan isu perkauman untuk mengagalkan inisiatif dijalankan kerajaan pusat dan disokong Kerajaan Negeri.

“Perlu diingatkan bahawa Kerajaan Negeri hanya memulakan proses pengambilan tanah selepas menerima surat tanggal 12 Jun 2012 daripada CEO Pemandu merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator, Dato’ Sri Idris Jala (Idris). Dalam surat beliau, dinyatakan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhiddin Yassin telah meluluskan projek AWLU sebagai suatu Entry Point Project (EPP) pendidikan pada 10.2.2012.

“Selepas mendapat tawaran secara hitam putih daripada AWLU dan pengesahan daripada kerajaan persekutuan, barulah proses pengambilan tanah dimulakan. Dalam surat tersebut, Dato Sri Idris Jala (Idris) juga menyatakan bahawa projek AWLU akan membawa masuk pelaburan sebanyak RM492 juta dan impak kepada Gross National Income Malaysia adalah RM74.4 juta serta mewujudkan 190 perkerjaan bernilai tinggi yang baru,’’ ujarnya.

Guan Eng dalam pada itu menegaskan bahawa beliau amat kesal bahawa semasa kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, Mohamad Farid sedia menggadaikan masa depan anak-anak warga Balik Pulau dan Pulau Pinang demi survival politiknya. Ini adalah suatu perbuatan berniat jahat dan mementingkan diri sendiri sekali!

“Adakah Mohamad Farid sampai hati menjejaskan keharmonian kaum dan masa depan kanak-kanak di Balik Pulau dan Pulau Pinang sampai gunakan isu perkauman dan fitnah menentang inisiatif yang datang daripada kerajaan persekutuannya sendiri?,’’ ujar Ketua Menteri.

LEBIH 40 anak jati Kampung Genting, Balik Pulau daripada pelbagai bangsa berdialog dengan Ketua Menteri.
LEBIH 40 anak jati Kampung Genting, Balik Pulau daripada pelbagai bangsa berdialog
dengan Ketua Menteri.