Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang diagih mulai hari ini sebagaimana dijanjikan

Admin

GEORGE TOWN – Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang berjumlah kira-kira RM75 juta yang diluluskan Kerajaan Negeri minggu lepas diagihkan kepada kumpulan sasaran mulai hari ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, insentif yang bertujuan mengurangkan beban golongan paling terkesan akibat penularan wabak COVID-9 itu akan disalurkan terus kepada penerima melalui akaun bank masing-masing.

“Seramai 4,700 wira barisan hadapan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan menerima insentif RM300 pada hari ini.

“Pada hari ini juga, seramai 551 penerima bantuan Agenda Saksama Ekonomi (AES) yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) turut akan menerima RM500 melalui akaun bank masing-masing.

“Selain itu, bantuan RM500 kepada pemandu teksi dan RM300 kepada pemandu e-hailing juga sudah mula diagihkan.

“Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga telah menerima dana bantuan kecemasan RM30,000 untuk digunakan sepenuhnya bagi membantu rakyat yang memerlukan,” katanya ketika ucapan siaran langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa bagi wira-wira barisan hadapan agensi Kerajaan Persekutuan, peruntukan telah disalurkan kepada jabatan masing-masing dan akan diuruskan oleh pihak-pihak berkaitan.

“Bagi penerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri adalah diharapkan wang sumbangan ini akan disalurkan dalam tempoh satu atau dua hari lagi,” katanya.

Tambah Kon Yeow, penyewa rumah premis perniagaan milik Kerajaan Negeri juga tidak perlu membayar sewaan mereka pada bulan ini (April).

“Manakala bagi penghuni projek rumah Sewa Beli (RTO) Kerajaan Negeri, peminjam Skim Pinjaman Harapan, Tabung Usahawan Tani serta Pinjaman Penuntut dibenarkan untuk menangguhkan bayaran selama tiga bulan bermula bulan ini,” ujarnnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu bahawa Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan menyumbangkan RM1 juta kepada Tabung COVID-19.

Difahamkan, PDC juga mengambil beberapa inisiatif bagi meringankan beban pihak-pihak berkaitan antaranya penangguhkan bayaran bagi pembelian tanah, tanah perindustrian serta bangunan perindustrian yang telah ditandatangani jual beli sehingga 30 Jun ini.

Inisiatif lain yang turut diluluskan PDC adalah seperti berikut :
– Tempoh pengesahan penerimaan tawaran penjualan, penyewaan tanah perindustrian dan bukan perindustrian serta bangunan dilanjutkan sehingga 30 Jun.

– Pengecualian sewaan satu bulan bagi bulan April kepada peniaga-peniaga yang sedang menyewa di projek-projek PDC iaitu Gerai Bukit Tengah (24 unit) dan Gerai atau kiosk dekat Komtar, Stadium Batu Kawan, tempat letak kereta bertingkat Bukit Bendera serta Lorong Kulit.

– Penangguhan bayaran sewa (April) untuk Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan, unit komersil di The One Bayan Baru, premis perniagaan Jalan Burmah, Burmah Square serta Kompleks Jalan Kedah secara berjadual dalam tempoh enam bulan dan perlu diselesaikan pada tahun 2020.

– Pengecualian caj sewaan perumahan penempatan semula dua bulan (April dan Mei) untuk rumah kluster Lebuh Cecil dan Pengkalan Weld serta Taman Crescentia, Batu Kawan.

– Pengecualian caj sewaan tanah satu bulan untuk April 2020 bagi Persatuan Kebajikan Anak Muda Balik Pulau (food truck).

“PDC juga kini dalam proses penyediaan tatacara permohonan bagi Pinjaman Tanpa Faedah Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang.

“Justeru, saya berharap dapat umumkan butir-butir ini dalam tempoh satu hingga dua hari lagi,” ulasnya.

Dalam pada itu, menjawab soalan pemberita berkaitan kilang-kilang yang masih beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kon Yeow menerangkan bahawa segala maklumat dan garis panduan berkaitan perkara berkenaan adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Malah, beliau turut menyatakan bahawa menyuarat Exco pagi ini turut membincangkan penganjuran bazar Ramadan yang masih dalam tempoh pemantauan dan sehingga kini, kedua-dua pihak pihak berkuasa tempatan (PBT) masih belum mengeluarkan sebarang lesen berkaitan perkara itu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG
Video : DARWINA MOHD. DAUD