Jarak sosial di Pasar Awam Balik Pulau pada tahap baik  

Admin

PULAU BETONG – Tinjauan Buletin Mutiara ke Pasar Awam Balik Pulau pagi ini mendapati pengamalan jarak sosial dan keadaan di pasar berada pada tahap yang baik.

Perkara tersebut turut diakui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail yang turun padang bersama-sama pihak berkuasa bagi memantau keadaan di pasar berkenaan.

“Kita semua tahu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini satu kejutan bagi rakyat. Walau bagaimanapun kita berusaha dengan pihak polis, RELA, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Angkatan Tentera Malaysi (ATM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk melakukan yang terbaik bagi mempraktikkan jarak sosial selamat untuk tamatkan rantaian COVID-19.

“Di sini, kita selalu ingatkan pengunjung supaya sentiasa mengamalkan jarak satu meter.

“Selain itu, kita juga berikan keutamaan kepada warga emas dengan menyediakan laluan khas untuk mereka membeli-belah selain mengehadkan masa hanya 20 minit sahaja untuk setiap orang supaya tidak berlaku kesesakan.

“Buat masa ini, kita berjaya kawal masyarakat di sini dengan jarak sosial sekaligus mengelakkan mereka berkumpul terlalu ramai dalam kawasan pasar awam,” ujar beliau dalam satu temu ramah oleh Buletin Mutiara pagi ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBPP, Edward Tan Chiew Choon.

Mengulas mengenai pematuhan PKP di pasar awam dan Balik Pulau, jelasnya tahap pematuhan di kawasan tersebut semakin baik.

“Ujian pertama COVID-19 adalah dapat menyantuni keluarga sama dengan hasrat Kerajaan Negeri yang memperkenalkan Visi Penang2030 yang menekankan memantapkan institusi keluarga.

“Di Balik Pulau ada juga tangkapan (ingkar PKP) namun tndakan itu adalah lebih kepada untuk mendidik masyarakat mengenai hasrat kerajaan dalam melawan COVID-19 ini,” tambahnya.

Mohd. Tuah dalam pada itu, turut memuji langkah pantas dan prihatin Kerajaan Negeri menyediakan insentif khas RM75 juta bagi membantu lapisan rakyat yang terkesan dengan penularan wabak pandemik ini.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD