Pameran arca kreatif mercu tanda dan budaya ikonik dunia inisiatif rangsang sektor pelancongan domestik – Exco

GEORGE TOWN – Bagi merangsangkan sektor spelancongan domestik, Penang Global Tourism (PGT) dengan inisiatif Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) memperkenalkan pameran ‘Penang Brings The World To Your Doorstep’ yang akan berlangsung dari Mei hingga Jun 2021 nanti.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, projek tersebut merupakan salah satu inisiatif khas yang diambil bagi merangsang pelancongan demostik sekali gus mempertahankan industri pelancongan Pulau Pinang.

Jelasnya, ia adalah demi memperkuatkan daya tarikan domestik Pulau Pinang dan pada masa sama, mewujudkan suasana mempesona baharu buat masyarakat tempatan.

“Dek pandemik COVID-19 membataskan perjalanan, justeru kita (Pulau Pinang) memerlukan aktiviti-aktiviti seperti ini untuk menarik pelancongan kerana negeri banyak bergantung kepada pendapatan daripada pelancongan untuk mengekalkan pekerjaan dan terus berjalan sepanjang wabak ini,” ujar beliau ketika ditemui dekat pejabatnya di sini hari ini.

Inisiatif yang turut di sokong oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkenaan bakal berlangsung di Espalanade, Padang Kota Lama.

Mengulas lanjut, Soon Hin memaklumkan bahawa inspirasi daripada projek berkenaan adalah dengan membawa paparan mercu tanda dan budaya ikonik di seluruh dunia di bawah satu bumbung.

“Ia akan dilancarkan pada hujung April nanti oleh Ketua Menteri dan saya sendiri, di mana arca-arca kreatif ini akan bergemerlapan dengan pengcahayaan pada waktu malam.

“Antara mercu tanda dan budaya ikonik luar negara yang dibawa antaranya iaitu Big Ben dan Red Phone Booth dari England, Kuil Shinto Torii dan ahli gusti Sumo (Jepun), Sydney Opera House dan Kangaroo (Australia), Taj Mahal (India), Tembok Besar dan wushu (China), Burj Al-Arab dan Burj Khalifa (Dubai) dan pelbagai lagi tarikan lain yang terkenal seluruh dunia.

“Sebagai tambahan, arca-arca kreatif ini juga akan dibentukkan menjadi astrologi 12 zodiak, di mana kita menjangkakan ia akan menarik pengunjung daripada segenap lapisan umur,” ujarnya lagi.

Hasil tinjauan Buletin Mutiara mendapati, usaha membangunkan arca-arca kreatif ini sedang giat dijalankan di Padang Espalanade di sini.

Bagi seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Tiniey berpendapat bahawa usaha tersebut adalah bagus memandangkan kini semua pihak tidak dapat merentas negeri, justeru tarikan baharu di Pulau Pinang tersebut bakal membolehkan warga tempatan mempunyai tempat riadah dengan suasana baharu.

“Bagi saya sendiri, sememangnyan hujung minggu akan bawa anak-anak untuk bersiar di Pulau Pinang, dan Espalanade adalah tempat kegemaran kami sekeluarga untuk melepak sambil anak-anak bermain.

“Namun, mungkin boleh mempelbagaikan karektor terutamanya kartun yang lebih dekat di hati kanak-kanak seperti kartun Disneyland dan sebagainya, ia lebih menarik,” ujarnya.

Manakala, bagi Mohd Azmi Fazil ia merupakan satu insiatif yang baik dan sesuai dilaksanakan di padang Esplanade memandangkan padang tersebut merupakan kawasan tumpuan dengan pelbagai aktiviti pada malam hari.

“Ia memberikan nilai tambah kepada Esplanade yang sememangnya sudah terang dengan limpahan cahaya, malah ia amat sesuai dilakukan pada tempoh tersebut sempena musim perayaan, sekali gus jika kebenaran merentas negeri dibenarkan akan mampu menarik pelancong domestik lain,” ujarnya ringkas.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR