Pameran kisah feri Pulau Pinang beri informasi dan pendidikan – Exco

GEORGE TOWN – Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai menyifatkan Pameran Kisah Feri Pulau Pinang dapat memberikan informasi dan pendidikan kepada masyarakat khususnya di Pulau Pinang.

 

 

Jelasnya, perkhidmatan feri yang mula beroperasi pada tahun 1984 itu memainkan peranan sangat penting sebagai medium pengangkutan sebelum wujudnya Jambatan Pulau Pinang.

 

 

“Pada pandangan saya, pameran ini secara kolektif memberi sumbangan informasi dan pendidikan secara tidak formal kepada masyarakat pelbagai lapisan secara global.

 

 

“Ini membawa kita mengimbau sejarah yang mana sebelum adanya Jambatan Pulau Pinang, perkhidmatan feri yang diperkenalkan oleh syarikat adik-beradik, Quah Beng Kee merupakan perkhidmatan terpenting di Pulau Pinang yang menghubunglan pulau dan Seberang Perai.

 

 

“Sejak dari itu, pelbagai evolusi telah dilalui, namun yang paling dekat di hati ialah ‘Feri Pulau Pinang’ yang mula diperkenalkan selepas Malaysia mendapat kemerdekaan,” ujar Hon Wai ketika merasmikan Pameran Kisah Feri Pulau Pinang: Cerita Feri Pulau Pinang & Masyarakat dekat Balai Seni Lukis Negeri, Dewan Sri Pinang di sini semalam.

 

 

Turut hadir, pelukis yang menyumbangkan karya, Khoo Cheang Jin dan Ch’ng Kiah Kiean.

 

Mengulas lanjut, Hon Wai berkata antara perkara mencuit hati melibatkan perkhidmatan feri adalah apabila terdapat individu yang menunggu feri bernama Pulau Pinang sahaja yang akan dinaiki untuk menyeberang dari Seberang Perai ke pulau.

 

 

“Seperti mana kita tahu, feri diberikan nama berdasarkan nama pulau seperti Pulau Aman, Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor, Pulau Redang dan pelbagai lagi pulau terkenal tetapi ia sekadar nama sahaja.

 

“(Dan) terbaharu, Kerajaan Persekutuan telah memilih perkhidmatan katamaran yang dinamakan Teluk Bahang, Teluk Kampi, Teluk Duyung, Teluk Kumbar yang lebih sinonim dengan Pulau Pinang dan bersesuaian dengan kos efektif serta hanya boleh dinaiki oleh motosikan dan pejalan kaki sahaja,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI