PDC pindah serta merta surat tawaran berkaitan BKIP2, ulang Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri

GEORGE TOWN – Tiada kelemahan atau kesilapan dalam proses dan prosedur penjualan tanah kepada Umech Land Sdn. Bhd. yang mana ia selaras dengan amalan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) selama ini sama ada tender terbuka, penyataan hasrat (RPF) atau rundingan terus.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sekali lagi menjelaskan perkara itu dalam Sesi Soal Jawab Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon di sini pada 17 November.

“Pemilihan Umech Land Sdn. Bhd. juga melalui proses yang panjang dan telus berdasarkan punca kuasa yang ditetapkan,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu bagaimanapun menyatakan bahawa isu perubahan saham oleh pihak Umech Land Sdn. Bhd. yang berlaku sebelum menandatangani perjanjian adalah perkara yang didapati pertama kali terjadi tanpa sebarang makluman daripada pihak Umech Land Sdn. Bhd. kepada PDC.

“Bagi mengatasi perkara yang sama berulang, pihak PDC telah membuat pindaan serta-merta ke atas semua surat tawaran dengan meletakkan klausa berkaitan perubahan saham syarikat sebelum menandatangani perjanjian,” ujarnya.

LEE Khai Loon

Menjawab soalan tambahan Khai Loon selepas itu, Kon Yeow menjelaskan pihak-pihak yang terlibat bagi Kerajaan Negeri dalam menentukan nilaian semasa tanah di Bryan dekat Batu Kawan.

Terdahulu, pada 27 September lepas, media melaporkan bahawa Sunway dan Umech Land akan bersama-sama membangunkan kawasan perindustrian yang melibatkan tanah seluas 559 ekar yang dikenali sebagai Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP2) di Batu Kawan.

Semasa itu, dilaporkan Sunway telah memiliki pegangan dalam Umech Land, kira-kira 70 peratus.

Dalam reaksi balas Pengurus Besar PDC, Dato’ Aziz Bakar memberitahu bahawa penglibatan Sunway dalam Umech Land adalah di luar pengetahuan agensi negeri tersebut.

Susulan itu, beliau berkata Umech Land telah diminta untuk memberikan surat tunjuk sebab di sebalik isu berbangkit tersebut.

Sehingga kini, PDC telahpun membatalkan projek kolaborasi berkaitan dengan Umech Land Sdn. Bhd.

Langkah tersebut membolehkan PDC membuat pindaan serta-merta ke atas semua surat tawaran dengan meletakkan klausa berkaitan perubahan saham syarikat sebelum menandatangani perjanjian demi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN & ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & SITI NURATIKAH RAHMAT