Pameran koleksi peribadi lapan TYT Pulau Pinang catat sejarah tersendiri – Ketua Menteri

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) diiringi isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor (depan, empat dari kiri) diberi taklimat oleh Haryany Mohamad (depan, kiri sekali) mengenai antara koleksi peribadi menarik mantan TYT yang terdapat dalam Pameran Pameran Dari Gabenor Ke TYT. Turut serta, Ketua Menteri (dua dari kanan) dan Yeoh Soon Hin (dua dari kiri) di Dewan Sri Pinang pada 16 Ogos 2022.

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang kelapan, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada pagi ini berkenan menyempurnakan perasmian dwi acara iaitu pelancaran ‘Coffee Table Book’ dan majlis pembukaan Pameran Dari Gabenor Ke TYT di Dewan Sri Pinang dekat Daerah Timur Laut.

Pameran sementara yang menghimpunkan koleksi-koleksi peribadi kesemua lapan TYT sejak merdeka hingga kini itu turut disertai isteri Ahmad Fuzi, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor.

KETUA Menteri

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa siri pameran yang bermula pada 15 Ogos 2022 hingga bulan Mei tahun depan, akan menjelajah ke empat daerah lain demi memberi peluang kepada sekalian rakyat jelata mengenali institusi TYT dengan lebih dekat.

“Inilah saat dan peluang yang dinanti-nantikan oleh kita semua untuk merasai dan menyaksikan sendiri keunikan sejarah institusi Gabenor yang kini dikenali sebagai Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri (Pulau Pinang).

“Pameran ini sarat dengan pelbagai infomasi menarik mengenai tonggak utama negeri Pulau Pinang.

“Sesungguhnya, pameran ini bukan sahaja dapat memberi manfaat yang cukup besar kepada seluruh warga Pulau Pinang malah juga warga dari negeri lain untuk mengenali dengan lebih dekat berkenaan institusi (TYT) ini,” jelasnya dalam majlis berkaitan di sini pada 16 Ogos 2022.

TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (lima dari kiri) diiringi Ketua Menteri (empat dari kiri), Yeoh Soon Hin (enam dari kiri) dan Haryany Mohamad (kiri sekali) turut merakamkan gambar dengan barisan waris kepada mantan-mantan TYT, dalam majlis berkaitan pada pagi tadi.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Pengarah Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang, Haryany Mohamad serta sekalian waris kepada mantan-mantan TYT atas kejayaan bersama dalam menganjurkan pameran bersejarah tersebut.

“Bermula dari Gabenor pertama yang disandang oleh Raja Tun Uda Al Haj Raja Al Haj Muhammad pada tahun 1957 selepas negara mencapai kemerdekaan, disusuli dengan Tun Tan Sri Syed Sheh Syed Abdullah Shahabudin (1967-1969); Tun Tan Sri Syed Sheh Al-Haj Syed Hassan Barakbah (1969-1975); Tun Tan Sri Dato’ Seri Dato’ Haji Sardon Jubir (1975-1981); Tun Dato’ Dr. Awang Hassan (1981-1989); Tun Tan Sri Datuk Seri Abdul Rahman Abbas (2001-2021) dan terkini Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak selaku Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang Kelapan, setiapnya mempunyai artifak sejarah yang tersendiri.

“Sehubungan itu, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada waris-waris mantan Tuan Yang Terutama (TYT) yang terdahulu atas kerjasama serta kesudian meminjamkan koleksi-koleksi peribadi demi menjayakan pameran ini,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Berucap sebelum itu, Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong memberitahu bahawa pihaknya berharap ‘Pameran Dari Gabenor Ke TYT’ yang kini masih merupakan koleksi pameran sementara akan dijadikan sebagai koleksi pameran tetap pada masa hadapan demi menambahkan lagi daya tarikan pelancongan ke Pulau Pinang serta menyemarak sektor ekonomi kreatif negeri.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri dan ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Si Zen merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai dwi acara perasmian sempena Pameran Dari Gabenor Ke TYT itu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS