PRU15, Kerajaan Negeri akan bantu SPR Negeri tambah baik gerak kerja

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Negeri Pulau Pinang, Dr. Siti Nazariah Abdul Zalim di pejabatnya di Komtar.

Turut hadir, Penolong Pengarah SPR Negeri Pulau Pinang, Mohd. Suhaimi Sapie.

Dalam pertemuan selama 30 minit itu, antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai kesiapsiagaan dan cabaran yang bakal dihadapi oleh SPR pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurut Siti Nazariah, pihaknya kini masih meneruskan latihan kepada petugas pilihan raya terutamanya melibatkan Ketua Tempat Mengundi (KTM) dan Kerani Pengundian (KP).

Selain itu, menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) juga sedang meneliti beberapa prosedur operasi standard (SOP) di tempat pengundian termasuk menyediakan khemah khas untuk pengundi yang mungkin bergejala dan tidak sihat serta akses mudah kepada pengundi warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Bagi pihak SPR Negeri, kami memang sentiasa bersiap siaga untuk melaksanakan PRU15 dan pada masa sama, pihak SPR Negeri juga ingin menggalakkan kepada pemilih berdaftar untuk membuat semakan melalui aplikasi mudah alih MySPR Semak.

“Melalui aplikasi ini, pemilih berdaftar boleh membuat semakan mengenai maklumat diri dan mengetahui tempat serta saluran mengundi di bahagian pilihan raya masing-masing tanpa perlu hadir ke barung semakan lagi,” ujarnya.

Difahamkan, penambahbaikan yang dilakukan oleh SPR Negeri Pulau Pinang adalah bagi memudahkan urusan pemilih berdaftar pada hari pengundian nanti.

Bercakap mengenai jumlah pengundi berdaftar terkini di Pulau Pinang, Siti Nazariah memaklumkan sehingga Jun 2022, berlaku pertambahan pengundi baharu seramai 270,000 orang menjadikan jumlah terkini seramai 1,225,000 pengundi.

Pertambahan jumlah pengundi juga menjadi salah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh SPR Negeri selain cabaran dari segi logistik dan pusat mengundi.

“Walau bagaimanapun, pihak SPR Negeri amat berterima kasih kepada YAB kerana telah memudahkan dan melancarkan gerak kerja kami dalam persediaan menghadapi PRU15.

“(Dan) pihak kami akan meneruskan sesi libat urus bersama-sama Yang Berhormat (YB) di negeri ini,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan dan pihak berkaitan yang sudi menguruskan (sebagai pegawai pengurus pilihan raya, RO) proses pilihan raya akan datang.

Kon Yeow dalam pada itu memaklumkan bahawa pihak Kerajaan Negeri akan membantu SPR Negeri bagi memudahkan serta menambah baik gerak kerja dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN