Panggilan tender terbuka pra kelayakan projek LRT Bayan Lepas dibuka mulai 25 Julai

Admin

GEORGE TOWN – Proses tender terbuka permohonan pengemukaan (RFP) bagi Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas peringkat pra kelayakan atau pre-qualification akan bermula pada 25 Julai sehingga 24 Ogos 2022.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa proses pada peringkat pra kelayakan tersebut merupakan salah satu komponen penting dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berkualiti demi manfaat rakyat di negeri ini.

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat komited untuk merealisasikan projek ini.

 

“Justeru, syarikat-syarikat yang berminat adalah diminta melayari pautan di https://tender.penanginfra.com/home untuk pendaftaran.

 

JAJARAN bagi Projek LRT Bayan Lepas.

“(Dan) seterusnya mengemukakan maklumat masing-masing mengikut tempoh masa ditetapkan,” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 20 Julai 2022.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), Dato’ Seri Farizan Darus; Ketua Seksyen Pengangkutan, Dato’ Lim Hock Seng dan Pengarah Projek SRS Consortium, Szeto Wai Loong.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi memaklumkan bahawa syarikat-syarikat yang berminat boleh memohon untuk mendapatkan akses bagi memuat turun dokumen pra kelayakan melalui laman sesawang PIC, www.penanginfra.com.

 

“Tempoh memuat turun dokumen adalah selama dua minggu mulai 25 Julai 2022.

 

“Bayaran untuk dokumen berkaitan adalah RM2,000 dan perlu dibayar kepada PIC.

 

Tarikh menghantar dokumen kepada PIC adalah pada 24 Ogos 2022, selewat-lewatnya jam 12 tengah hari.

 

“(Dan) proses penilaian akan diadakan selepas tarikh tersebut serta dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu (dari 25 Ogos sehingga 8 September 2022).

 

“Syarikat yang berjaya disenarai pendek berdasarkan kriteria pengalaman, kepakaran dan kebolehan masing-masing dari segi teknikal serta kewangan dalam peringkat pra kelayakan ini akan dijemput menyertai proses RFP bagi komponen LRT Bayan Lepas,” jelasnya.

 

Terdahulu, Kon Yeow turut mengumumkan pelancaran laman sesawang baharu PIC iaitu www.penanginfra.com.

 

“Sebelum ini dikenali sebagai Penang Transport Master Plan (PTPM) melalui pautan pgmasterplan.penang.gov.my.

 

LAMAN sesawang baru juga boleh diakses melalui telefon bimbit dan tablet.

Penjenamaan semula ini telah diusahakan sejak tahun lepas dan bakal menyuntik semangat baharu kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta PIC dalam merealisasikan PTMP.

 

“Segala proses tender untuk komponen PTMP yang lain juga akan menggunakan laman sesawang sama kelak.

 

“Justeru, kontraktor yang berminat dalam pelaksanaan PTMP dan Penang South Islands (PSI) boleh melayari laman sesawang ini untuk maklumat lanjut berkaitan,” katanya yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah PIC.

 

Pada kesempatan sama, Kon Yeow juga menyeru semua pihak untuk merujuk kepada laman sesawang www.penanginfra.com sebagai sumber rasmi dalam memperoleh maklumat yang tepat dan sahih mengenai PTMP dan PSI.

 

Difahamkan, laman sesawang baharu ini juga memaparkan maklumat dan penjelasan mengenai peranan PIC, komponen bagi projek PTMP dan PSI serta makluman mengenai Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN).

 

Selain menggabungkan elemen multimedia seperti grafik, animasi dan video untuk menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan serta menarik, laman sesawang ini juga ‘mobile responsive’ (boleh dilayari menerusi telefon bimbit atau tablet) dan mempunyai pilihan opsyen bahasa dalam Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT