Pantau harga rutin bukan dirancang – Malik

GEORGE TOWN – Seramai 40 sukarelawan ditempatkan di sekitar kawasan ini termasuk Pasar Awam Chowrasta di sini sebagai pemerhati pengguna yang bertindak menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kes kenaikan harga barangan secara melampau dan masalah kebersihan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, pemantauan tersebut dilakukan bagi mengelakkan para peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati.

“Pada masa sama, ia juga bertujuan membuat pemeriksaan kualiti dan stok termasuk memantau tanda harga pada barang jualan.

“Kalau ada apa-apa aduan, saya perlu bertindak cepat,’’ katanya ketika membuat pemantauan harga barangan di Pasar Awam Chowrasta di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdul Malik menyatakan bahawa lawatan beliau merupakan tugasan rutin dan bukannya dirancang sebelum ini.

Berdasarkan pemantauan dijalankan, beliau mendapati bahawa terdapat sedikit kenaikan harga barangan yang mungkin dipengaruhi oleh peningkatan harga bahan api dan elektrik.

“Bagaimanapun, para peniaga mereka masih mematuhi syarat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK) dengan meletakkan tanda harga pada barangan masingmasing,’’ ujar beliau.