Rayu tindakan terhadap ‘lelaki misteri’

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PERAI – Penasihat Pemasaran sebuah syarikat jualan kereta, Zubair Saaid, 40-an, mengadu kad pengenalan serta lesen memandunya masing-masing seakan dikeluarkan agensi berwajib kepada seorang lelaki misteri lain.

Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), M. Satees semasa membangkitkan perkara itu berkata, pihak berkuasa langsung tidak bertindak sungguhpun laporan polis telahpun dibuat pengadu sejak 12 November tahun lepas lagi.

“Pengadu dapat saman atas satu kesalahan trafik (oleh) lelaki misteri ini di Melaka. Jika kad pengenalan serta lesen memandu yang dipegang lelaki misteri ini palsu, tentu awal-awal lagi pihak berkuasa kesan.

“Kalau di bank, telah lama akaun pencuri identiti Zubair ini dibekukan, tetapi, ini tidak berlaku melalui semakan saya,’’ ujarnya pada sidang media di Pusat Khidmat Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy di sini baru-baru ini.

Menurut Satees, aduan Zubair itu wajar diambil perhatian Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Terdahulu, Zubair menyedari identitinya dicuri apabila menerima saman RM500 atas satu kesalahan trafik di Melaka, yang bukan dilakukannya.

Zubair dalam satu kenyataan berkata, kenderaan dipandu lelaki misteri itu didaftarkan di bawah Syarikat Valley Enterprise Sdn. Bhd., Lot 18, Jalan Makmur 2, Kawasan Perindustrian Bukit Makmur, Sungai Petani, Kedah.

Bagaimanapun, identiti sebenar lelaki misteri itu gagal dijejaki hingga kini, sungguhpun aduan polis (No. Laporan: BEDONG/003998/13) telah dibuat tahun lepas.