Pasca PKP; pasar malam Rabu di Balik Pulau yang dirindui

MOHD. Tuah Ismail (kiri) mendapatkan reaksi seorang peniaga buah pisang, Faizal Mat Daud mengenai aplikasi transaksi tanpa tunai Touch’nGo eWallet yang dimanfaatkan sejak awal PKP lagi, ketika menyertai acara pemantauan SOP PKPP di Pasar Malam Rabu, Jalan Pondok Upeh dekat Balik Pulau pada 9 September 2020.

PULAU BETONG – Pasar malam hari Rabu dekat Jalan Pondok Upeh, Balik Pulau yang tidak beroperasi sejak 18 Mac lepas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dibuka semula dalam suasana normal baharu dan meriah pada 9 September 2020.

ANTARA gambar yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara.

Baik anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Empat mahupun para peniaga hatta pengunjung, masing-masing kelihatan lengkap memakai pelitup mulut serta saling memastikan penjarakan fizikal satu meter (m) antara satu sama lain diamalkan.

Bercakap kepada pemberita, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail menasihatkan ketiga-tiga pihak berkepentingan supaya kekal mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang digariskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

MOHD. Tuah Ismail

“Selepas membuat pemantauan sendiri, saya berpuas hati kerana tiap-tiap orang yang masuk kepada pasar malam Rabu ini diperiksa suhu badan terlebih dahulu, dengan ada had pengunjung pada satu-satu masa di sini.

“Oleh kerana kita berada dalam normal baharu, pada minggu depan mungkin kita boleh meminta peniaga-peniaga makanan memakai apron dan penutup kepala umpamanya.

“Secara umum saya lihat suasana pada petang ini tetap meriah walaupun dalam normal baharu,” jelasnya sejurus mengadakan tinjauan di sini, semalam.

AHMAD Taufiq Mohammad

Manakala bagi Pembantu Kesihatan Awam, Bahagian Pelesenan MBPP, Ahmad Taufiq Mohammad pula memberitahu bahawa sehingga kini kira-kira 40 peratus pasar malam kembali beroperasi dalam normal baharu.

“Paling penting MBPP nak pantau daripada segi penjara fizikal 1m diamalkan atau tidak, kerana ini komitmen penganjur untuk memastikan amalan itu dilaksanakan.

“Kemudian, kita nak lihat pengendali makanan sama ada memakai topi dan apron atau tidak, maka sekali lagi penganjur dan Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam Pulau Pinang (PPPMPP) perlu memainkan peranan penting dalam aspek ini.

“Jadi, tiap-tiap pasar malam, memang ada pegawai MBPP akan turut menjalankan aktiviti pemantauan…umumnya di sini semua pihak ikut SOP yang MBPP tetapkan,” katanya.

ANUAR Awang

Sementara itu, Timbalan Yang di-Pertua PPPMPP, Anuar Awang memberitahu pihaknya memuji kerjasama yang diberikan oleh MPKK Simpang Empat dalam usaha membuka semula operasi pasar malam tersebut.

“Sebelum PKP dan pasca PKP memang berbeza, seperti pengunjung tidak boleh lagi bersesak di meja makan seperti dahulu.

“Walaupun pendapatan penjaja berkurangan ketika PKPP, tetapi kita harap kemeriahan pasar malam dalam normal baharu ini turut dapat memulihkan pendapatan para peniaga.

“Jadi, saya sangat berharap MBPP dan penganjur dapat membantu kita untuk memastikan semua pihak yang berada dalam kawasan pasar malam ini patuh semua SOP,” tegasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Mohd. Tuah kerana turut turun padang pada hari pertama operasi pasar malam tersebut.

Ahli Majlis MBPP, Tan Chiew Choon dan Pengerusi MPKK Simpang Empat, Mohd Majdan Nut Jamudin turut serta acara pemantauan SOP PKPP tersebut.

TAN Chiew Choon (dua dari kanan), Mohd Majdan Bin Nut Jamudin (kanan sekali) serta dua lain merakamkan gambar bersama-sama Mohd. Tuah Ismail selepas selesai acara pemantauan SOP PKPP di Pasar Malam Rabu, Jalan Pondok Upeh dekat Balik Pulau di sini.

Sebelum pada itu, rata-rata peniaga mengharapkan dengan pembukaan pasar malam dapat memulihkan kembali sumber pendapatan mereka.

MUHAIMY Abd. Samad

Muhaimy Abd. Samad, 31, peniaga makanan memberitahu Buletin Mutiara bahawa beliau berharap pengunjung dapat berbelanja lebih di pasar malam.

“Pendapatan peniaga adalah harian, apabila PKP dilaksanakan, pendapatan kami terjejas teruk.

“Tetapi, mujurlah ada insentif dan bantuan kewangan daripada Kerajaan dan PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) serta Zakat (Pulau Pinang).

“Jadi, sebab lama sangat tiada pasar malam, saya harap pengunjung boleh riang berbelanja lebih di pasar malam,” maklumnya.

FAIZAL Mat Daud

Nada yang sama turut dikongsi oleh penjual buah pisang, Faizal Mat Daud, 30-an.

“Saya pakai e-dompet sejak mula PKP lagi, ia sangat membantu, dan pada petang ini pun saya sediakan kemudahan ini sebab normal baharu mungkin ramai dah tak bawa duit tunai ketika buat transaksi.

“Alhamdulillah, dapat berniaga kembali di pasar malam, dan saya harap pelanggan-pelanggan setia saya boleh kembali ke pasar malam ini seperti dahulu (sebelum PKP),” kongsinya.

SITI Zubaidah Md. Saad

Selain itu, salah seorang pengunjung, Siti Zubaidah Md. Saad, 25, berkata bahawa beliau menyambut baik penerapan normal baharu dalam penganjuran pasar malam Rabu di sini.

“Tentulah saya rindu kerana sejak PKP, telah lama tiada pasar malam dibuka di sini.

“Petang ini saya datang kerana rindu nak makan bakso, dan membeli bungkusan bihun sup dan lontong untuk dibawa pulang ke rumah,” ujarnya.

‘ROSNITA’

Seorang lagi pengunjung yang mahu dikenali sebagai ‘Rosnita’ menzahirkan rasa gembira kerana akhirnya pasar malam lokal dibuka semula pada hari ini.

“Saya singgah pada petang ini sebab telah lama tiada pasar malam di Jalan Pondok Upeh.

“Harga sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan sekarang masih berpatutan walaupun pasca PKP.

“Patuh SOP, dan paling penting kita kena saling berwaspada supaya dapat cegah virus COVID-19 daripada terus merebak di negeri ini umumnya…dan di pasar malam ini khususnya,” serunya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING