Pasukan Bomba Sukarela Valdor komited berkhidmat tanpa imbuhan

Admin

PASUKAN Bomba Sukarela (PBS) menjadi antara pasukan terawal yang akan tiba di lokasi sekiranya berlaku bencana terutamanya melibatkan kebakaran.

Walaupun berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang imbuhan seperti elaun bulanan, tetapi mereka tetap bertungkus-lumus malah sanggup menggadaikan nyawa demi membantu masyarakat ketika berlaku bencana.

Di Pulau Pinang, Pasukan Bomba Sukarela Valdor antara yang paling aktif menjalankan operasi menyelamat dan pemadaman bukan sahaja di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) malah turut meliputi seluruh negeri.

Law Soon Chiang.

Ketua pasukannya, LAW SOON CHIANG memberitahu bahawa tugas Pasukan Bomba Sukarela Valdor bukan hanya menjalankan operasi memadam kebakaran tetapi turut melibatkan kerja-kerja penyelamatan teknikal lain.

“Tugas kami termasuklah menyelamatkan haiwan liar, sanitasi tempat-tempat awam, menghapuskan sarang lebah, gotong-royong bagi mencegah denggi di kawasan perumahan dan komuniti serta banyak lagi.

“Ini adalah beberapa contoh tugasan yang kami jalankan sejak pasukan ini ditubuhkan pada tahun 2000 selain mempertaruhkan nyawa semasa operasi memadam kebakaran,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara dekat Pusat Operasi Pasukan Bomba Sukarela Valdor di Sungai Bakap baru-baru ini.

Soon Chiang berkata bahawa Pasukan Bomba Sukarela Valdor ketika ini terdiri daripada 40 anggota yang aktif terlibat dalam pelbagai misi menyelamat seperti memadam kebakaran, tanah runtuh serta kemalangan jalan raya di seluruh negeri.

“Setiap bulan, rata-rata anggota Sukarela akan menjalankan sekitar 30 hingga 40 operasi menyelamat yang mana kebanyakannya adalah melibatkan kes-kes kebakaran.

Anggota pasukan Bomba Sukarela Valdor melakukan demonstrasi di atas jentera baharu.

“Walaupun kadangkala tugasan yang dilaksanakan itu sangat mencabar tetapi pasukan Sukarela kami tidak pernah penat dan bosan untuk membantu masyarakat melalui perkhidmatan yang ditawarkan.

“Ini kerana, kepuasan yang diperoleh daripada kerja-kerja menyelamatkan nyawa atau membantu masyarakat memberikan makna yang tersendiri kepada kami semua tanpa mengharapkan sebarang balasan atau imbuhan.

“Ada sesetengah pihak menganggap kerja kesukarelawan sebagai membuang masa dan tenaga tetapi bagi kami, perkara ini adalah berkait dengan minat selain rasa puas yang sukar untuk digambarkan terutamanya ketika sedang membantu orang lain,” tambahnya.

Dalam perkembangan semasa, beliau menyatakan bahawa Pasukan Bomba Sukarela Valdor telah menerima sebuah jentera baharu untuk digunakan semasa kerja-kerja menyelamat dan memadam kebakaran.

Menurut Soon Chiang, jentera berharga RM170,000 tersebut dibeli dari negara Jepun melalui hasil kutipan dana awam dan bantuan tambahan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Pejabat Ketua Menteri.

“Kita rancang untuk beli jentera ini sejak setahun lalu tetapi berdepan masalah kekurangan sumber kewangan dan syukur apabila Ketua Menteri (Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow) bermurah hati menyumbangkan sebanyak RM30,000.

Pakaian seragam pasukan.

“Selain Ketua Menteri, kami juga mendapat tambahan dana daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, YB Goh Choon Aik berjumlah RM20,000 manakala RM120,000 lagi diperoleh daripada hasil kutipan dana awam.

“Oleh itu, di kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan YB Goh Choon Aik atas sokongan luar biasa yang diberikan kepada Pasukan Bomba Sukarela Valdor,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya trak baharu tersebut, kerja-kerja memadam kebakaran akan menjadi lebih mudah terutamanya apabila melibatkan bangunan-bangunan bertingkat yang tinggi.

“Trak pemadaman kebakaran baru ini mempunyai sistem teknologi lebih moden selain dilengkapi dengan kren pengangkut (skylift) setinggi 25.5 meter (m),” ulasnya.

Selain sumbangan dana untuk membeli trak bomba, Soon Chiang memberitahu bahawa Choon Aik turut menyumbangkan kelengkapan lain yang diperlukan seperti pakaian seragam dan walkie-talkie.

Jentera baharu sedia digunakan semasa operasi menyelamat dan memadan kebakaran yang dilengkapi dengan teknologi moden.

“YB Goh (Choon Aik) juga telah membantu kami dengan menaja pakaian seragam sebanyak 35 helai bernilai RM7,000 dan 15 unit walkie-talkie yang berharga RM800 setiap satu bagi memudahkan kami berkomunikasi ketika berlaku kecemasan,” tambahnya.

Tambah Soon Chiang, sebelum berlakunya penularan pandemik COVID-19, Pasukan Bomba Sukarela Valdor aktif menjalankan program makan malam amal untuk mengumpul dana bagi menampung kos operasi.

“Memandangkan sekarang negara berada dalam tempoh pandemik, kami menghadapi masalah untuk meneruskan operasi kerana masalah kekurangan sumber kewangan.

“Pada masa ini, kami terpaksa menggunakan wang sendiri selain bergantung kepada sumbangan orang ramai kerana setiap bulan kami memerlukan kira-kira RM5,000 untuk perbelanjaan petrol, penyelenggaraan serta operasi.

“Kosnya sangat tinggi terutamanya apabila melibatkan kes kebakaran kerana operasi terpaksa dijalankan berjam-jam lamanya dan kos boleh meningkat antara RM500 hingga RM1,000 untuk mengisi petrol sahaja,” ujarnya.

Goh Choon Aik.

Sementara itu, Choon Aik yang turut hadir ketika sesi wawancara khas tersebut memuji semangat kesukarelawan yang ditunjukkan oleh Persatuan Bomba Sukarela Valdor.

“Anggota bomba sukarela juga memainkan peranan yang sangat penting sebagaimana Jabatan Bomba dan Penyelamat awam dalam membantu masyarakat ketika berlakunya bencana.

“Mereka tidak pernah meminta apa-apa balasan untuk perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat dan tidak juga mengharapkan apa-apa pengiktirafan, tepukan atau penghargaan.

“Apa yang mereka mahukan adalah membantu masyarakat dengan cara mereka seperti yang dilatih, dan inilah yang dinamakan semangat kesukarelawan yang sebenar,” jelasnya.

Choon Aik menyatakan bahawa mengikut undang-undang, sebahagian besar anggota bomba Sukarela mempunyai pekerjaan sendiri.

“Kesemua mereka mempunyai pekerjaan sendiri di tempat lain di sekitar Valdor tetapi mereka masih ada masa untuk membantu orang ramai yang memerlukan atau beri bantuan kepada pihak bomba.

Akaun untuk menyelurkan sumbangan bagi membantu menampung kos operasi.

“Ada yang bekerja di ladang berdekatan dengan Kampung Valdor, kilang-kilang dan ada juga yang menjalankan perniagaan sendiri yang mana waktu kerja mereka ini lebih fleksibel.

“Pasukan bomba Sukarela perlu bersedia sepanjang masa, jadi bagi mereka yang mempunyai pekerjaan tetap biasanya menyertai operasi selepas tamat waktu bekerja atau pada hari cuti,” ulasnya.

Justeru, Choon Aik menyatakan bahawa orang ramai adalah digalakkan untuk memberikan sumbangan berbentuk kewangan serta peralatan kelengkapan bagi membantu Pasukan Bomba Sukarela Valdor meneruskan operasi dalam tempoh mencabar ini.

Sumbangan boleh dibuat ke akaun Persatuan Bomba Sukarela Valdor (RHB 20710300002106).

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS