Transaksi di MBSP @Astaka Bandar Perda kini tanpa tunai

Admin
JAGDEEP Singh Deo (kanan) diiringi Sr. Rozali Mohamud semasa acara gimik perasmian acara berkaitan di MBSP @Astaka Bandar Perda di sini pada pagi ini.

SEBERANG JAYA – Semua transaksi di Astaka Bandar Perda mulai pagi ini digalakkan secara tanpa tunai, selaras dengan hasrat serta visi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang mahu menjadikan Seberang Perai Resilien, Inklusif, Hijau, Kompetitif dan Bandar Pintar Dipacu oleh Teknologi.

SR. Rozali Mohamud

Mengulas lanjut, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa pentadbirannya saling bekerjasama dengan syarikat Mutiara Smart Sdn. Bhd. (MSSB) bagi menyediakan perkhidmatan akses jalur lebar (wifi) secara percuma kepada pengunjung astaka tersebut.

“Ini, merupakan salah satu usaha ke arah merealisasikan ‘cashless community’ selaras dengan hasrat menjadikan Seberang Perai sebuah bandar raya pintar,” ujarnya dalam acara perasmian program inisiatif komuniti yang dilangsungkan secara ringkas di sini pada 12 Oktober 2021.

Menurutnya lagi, kemudahan jalur lebar secara percuma tersebut adalah tanpa syarat serta boleh diakses oleh 150 pengguna pada satu-satu masa dengan kelajuan 50 megabit sesaat (Mbps) tanpa had kuota.

Dalam perkembangan sama, Rozali turut merakamkan penghargaan kepada firma Boost yang menyediakan pangkalan perkhidmatan transaksi tanpa tunai di astaka tersebut.

“MBSP telah mewajibkan semua peniaga di Astaka Bandar Perda (Seberang Jaya) supaya membuat pendaftaran dan menggunakan perkhidmatan e-dompet Boost dalam urusan perniagaan.

“Penggunaan transaksi tanpa tunai ini mampu memberi pelbagai manfaat kepada peniaga dan pengguna…antaranya mengurangkan risiko penularan waba COVID-19 melalui sentuhan fizikal dalam urusan pembayaran,” jelasnya lagi.

PARA pemimpin negeri turut menyantuni peniaga di lot komersial MBSP @Astaka Bandar Perda tadi.
JAGDEEP Singh Deo

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang merasmikan acara tersebut memuji kolaborasi pelbagai pihak bersama-sama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk Seberang Perai terutama mereka yang tinggal sekitar Menara Bandaraya MBSP di sini.

“Semua projek pintar seumpama ini, sama ada di bahagian Pulau atau Seberang Perai, saya begitu mengalu-alukan untuk dilaksanakan demi rakyat.

“(Hal ini demikian) kerana, kita (Kerajaan Negeri) komited menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar selari dengan Visi Penang2030 iaitu Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan semua pihak yang bakal merentas negeri untuk menziarahi sanak-saudara dan keluarga serta pelancong domestik di Pulau Pinang supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan termasuk mesti terlebih dahulu mendapat lengkap suntikan dua suntikan vaksin.

Turut serta acara sidang media ringkas itu adalah Pemangku Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid; barisan Ahli Majlis MBSP; Ketua Pegawai Eksekutif MSSB, Adely Mahyuddin dan Pengurus Boost Pulau Pinang, Eric Tan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR