Patuh PKP supaya cepat diklasifikasi sebagai zon hijau, seru Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru rakyat Pulau Pinang agar terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membolehkan indikator zon bagi bilangan kes COVID-19 yang direkodkan bertukar menjadi hijau di negeri ini dan juga seluruh negara.

 

Seruan tersebut dinyatakan pada sesi tinjauan sekatan jalan raya di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala Jambatan Pulau Pinang di sini petang ini.

 

“Kadar pematuhan ini sebenarnya akan membantu barisan hadapan perubatan dalam mengawal penularan wabak COVID-19.

 

“Dan saya berharap semua pihak terus memberi kerjasama kepada penguatkuasaan supaya kita cepat diklasifikasikan sebagai zon hijau bagi negeri Pulau Pinang dan juga seluruh negara.

 

“Dengan ini, ia boleh membantu kita bebas daripada wabak pandemik ini dan kita boleh pulang kepada keadaan asal… inilah harapan kita semua,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan & Komunikasi.

 

Turut serta, Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan; Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong dan pegawai-pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut menyertai Ketua Menteri bagi tinjauan di Seberang Perai.

 

Dalam tinjauan sama, Kon Yeow turut melawat pos kawalan sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Nyiur (Butterworth) dan Jambatan Pulau Pinang menghala masuk ke pulau.

 

Kon Yeow dalam pada itu turut menyatakan bahawa beliau berpuas hati dengan pematuhan PKP di Pulau Pinang.

 

Dalam pada itu, Sahabudin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kon Yeow yang sudi melawat barisan hadapan keselamatan yang bertugas menguatkuasakan PKP di jalan raya.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : CHAN KOK KUAN