Patuh SOP, daftar vaksin antara saranan umum bendung perebakan COVID-19

Admin

SEMALAM (28 Julai 2021) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 17,405 kes baharu jangkitan COVID-19 di Malaysia menjadikan rekod kes harian tertinggi sejak pandemik bermula.

 

Malah, catatan kes lima angka sejak 13 Julai lalu (11,079 kes) juga menunjukkan trend peningkatan menjadikan kes kumulatif sehingga semalam adalah 1,061,476 kes.

 

Berdasarkan jumlah kes semalam juga, negeri Pulau Pinang mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 760 kes dengan lima kematian.

 

Situasi semasa ini sedikit-sebanyak mengundang keresahan dalam kalangan umum walaupun hakikatnya terdapat peningkatan semula kes COVID-19 di beberapa negara lain seluruh dunia berikutan perebakan varian membimbangkan (VOC) termasuk varian Delta yang dikatakan lebih mudah merebak.

 

Wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI, hari ini cuba mendapatkan pandangan daripada beberapa responden di Facebook berhubung peningkatan kes semasa.

 

Bagi pekerja industri di Seberang Perai, DARMIN SAUL HAMID, 49, berpendapat bahawa ‘tempat kerja’ menjadi penyumbang utama peningkatan kes sejak akhir-akhir ini.

 

Menurut beliau, banyak sektor ekonomi yang tidak sepatutnya beroperasi diberikan kebenaran untuk meneruskan operasi. 

 

“Ramai yang ‘terpaksa’ keluar bekerja akibat daripada kebenaran beroperasi dan ini secara tidak langsung menyumbang ke arah peningkatan kes.

 

Itupun belum ambil kira soal pelanggaran dan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja. 

 

“Ada juga yang ‘berani’ mempertaruhkan nyawa sendiri dan keluarga dengan balik ke kampung akibat kemaruk nak raya sehingga mencetuskan kluster komuniti ‘perayaan’.

 

“Cuma saya berpandangan bahawa pihak berkuasa perlu lebih tegas terutama melibatkan kebenaran merentas negeri dan pelanggaran SOP,” ujarnya ketika dihubungi melalui Facebook Messenger.

 

Tambah anak jati Pulau Pinang yang juga peminat tegar Liverpool ini, kerajaan seharusnya mempertimbangkan penguatkuasaan semula sekatan pergerakan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

 

“Walaupun pada saya, kadar pemberian vaksin di negara ini sangat pantas tetapi formula PKP 1.0 paling berkesan setakat ini,” katanya.

 

Suri rumah berusia 60 tahun, SAHIDAH SAAD turut berkongsi rasa bimbang apabila kes harian jangkitan COVID-19 yang dilaporkan meningkat.

 

“Sebagai warga emas, pastinya akan lebih terdedah dan berisiko untuk dijangkiti terutama ketika keluar mendapatkan keperluan harian atau bagi tujuan perubatan.

 

“Setiap kali kalau perlu keluar, saya akan sediakan diri dengan perlindungan terbaik iaitu dengan memakai dua lapis pelitup muka dan membawa sendiri sarung tangan pakai buang serta hand sanitizer (cecair pencuci tangan).

 

Selain itu, saya juga sering nasihatkan anak-anak supaya letak dalam fikiran bahawa orang sekeliling yang berada di luar mungkin pembawa virus COVID-19 dan tanpa sedar kita membawanya pulang ke rumah.

 

“Jadi, kalau ada urusan yang betul-betul penting dan perlu bertemu, ikut SOP, kalau nak bersembang atau bergurau senda sahaja dengan kawan-kawan boleh, tetapi secara online (dalam talian)…mungkin nampak macam remeh tapi kita harus memainkan peranan kita masing-masing,” tegas ibu kepada tiga cahaya mata yang berasal dari Bukit Mertajam ini.

 

Teruja apabila pertama kali ditemu bual wartawan, beliau turut berkongsi pengalaman menerima suntikan vaksin.

 

“Alhamdulillah, Hari Raya (Aidiladha) baru-baru ini telah lengkap dua dos.

 

“Walaupun pada mulanya agak takut, tetapi ini adalah ikhtiar kita, lain-lainnya serah kepada Allah SWT,” katanya.

 

Seorang lagi responden yang hanya mahu dikenali sebagai MAMU FIRDAUS turut ‘letih’ melihat peningkatan jangkitan.

 

Sebagai petugas kesihatan pastinya saya amat sarankan supaya patuh SOP bagi mengelakkan diri daripada menjadi ‘agen perebakan’ ataupun kontak rapat.

 

“Jika dilihat trend terkini memang virus terbaru ini amat mudah berjangkit, seeloknya kita sebagai rakyat perlu berdisiplin dan patuh SOP,” tegasnya.

 

Berkongsi cerita ketika bertugas di salah sebuah hospital awam di Selangor, pemuda berusia 27 ini memberitahu bahawa sejak melapor diri pada Februari 2021, tugas hariannya adalah membawa pesakit dari wad kecemasan ke wad biasa.

 

Waktu itu (Februari) memang dah ada pesakit COVID-19 di wad kecemasan, tetapi tidak seperti sekarang ini yang mana hampir keseluruhan kawasan kecemasan penuh dengan pesakit COVID-19 yang menunggu giliran mendapatkan wad.

 

“Malah sejak lapor diri saya juga tidak pernah bercuti dan bekerja dua syif selama 18 jam sehari sehinggalah baru-baru ini apabila didapati menjadi kontak rapat kepada salah seorang pesakit COVID-19…barulah dapat ‘cuti’ sementara waktu. 

 

“Apabila dikuarantin, pergerakan kita menjadi amat terbatas, banyak perkara yang terpaksa minta tolong orang. Timbul juga rasa kesian pada rakan setugas kerana saya tahu tidak cukup kakitangan buat masa ni,” katanya yang dihubungi melalui Facebook Messenger

 

Dalam pada itu, Mamu Firdaus menasihatkan supaya kekalkan disiplin kendiri yang tinggi dan terus memberikan sokongan terutama kepada para petugas barisan hadapan.

 

Berilah semangat untuk kami terus berjuang melawan pandemik ini serta hentikan amalan buli siber yang dilihat melunturkan semangat kami tatkala pandemik sedang memuncak.

 

“Lagi satu, daftarlah untuk menerima vaksinasi kerana tiada sesiapapun yang terkecuali daripada mendapatkan perlindungan. Daftar vaksin, tepati janji temu InsyaAllah sama-sama menuju imuniti kelompok,” serunya.

 

Tinjauan di laman sosial Facebook pula, mendapati ada desakan supaya ‘full lockdown’ dilaksanakan dengan syarat sektor perkilangan ditutup buat sementara waktu. Selain itu, ada juga yang keliru dengan SOP semasa serta meluahkan kekecewaan apabila terpaksa duduk di rumah untuk tempoh yang lama. Ada juga yang meluahkan rasa bosan kerana terpaksa bekerja dari rumah dan perlu membahagikan masa mengurus hal rumahtangga dengan tuntutan tugasan kerja. 

 

Tidak kurang juga yang berkongsi pelbagai tips dan galakan bagi membendung perebakan jangkitan. Berkongsi resipi masakan dan motivasi.

 

Sementara itu, memetik kenyataan KKM pada 8 Julai lalu, kes COVID-19 dijangka terus meningkat susulan pelaksanaan ujian saringan massa secara besar-besaran di Selangor dan Kuala Lumpur selain aktiviti pengesanan kontak rapat yang giat dijalankan kini.

 

Begitu juga di Pulau Pinang, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata peningkatan kadar saringan massa khususnya ke atas individu yang berisiko tinggi dan  tidak bergejala turut menyumbang terhadap peningkatan angka kes.

 

“Peningkatan kadar saringan adalah meliputi saringan kluster, kontak rapat dan lain-lain (aktiviti kesihatan) ekoran pertambahan kluster baharu sepanjang minggu ini.

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mengambil pendekatan 3T iaitu saringan massa (mass testing), pengesanan kontak rapat (tracing) dan rawatan (treatment) ke arah memutuskan perebakan COVID-19 di negeri ini.

 

“Apa yang kita lihat kini termasuk rekod catatan kes tertinggi semalam merupakan hasil saringan massa yang bukan sahaja dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) malahan daripada Program Penang Saring COVID-19 (PSC19) dan inisiatif pihak industri sendiri,” jelasnya melalui kenyataan media bertarikh 29 Julai 2021.