Penaiktarafan Lintang Beringin 10 dijangka siap pertengahan Ogos

Admin

BATU MAUNG – Penaiktarafan jalan Lintang Beringin 10 dekat Diamond Valley Industrial Park di sini dijangka dapat disiapkan pada pertengahan Ogos ini dengan menggunakan peruntukan khas daripada Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, jalan sepanjang 100 meter berkenaan bukan sahaja berlopak dan berlubang tetapi acap kali berlaku banjir ketika musim hujan.

“Diamond Valley Industrial ini dibangunkan pada tahun 1995 lagi dan ia merupakan kawasan IKS (Industri Kecil dan Sederhana) yang sememangnya laluan untuk kenderaan berat keluar dan masuk, termasuk lori pengurusan sisa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sehubungan itu bagi melancarkan operasi perkhidmatan kira-kira 200 lebih IKS di sini agar lebih selesa, peruntukan khas daripada MARRIS telah diluluskan berjumlah RM123,000 untuk melakukan penurapan semula, membaiki serta menyelenggara longkang di sini.

“Diharap, penaiktarafan ini akan dapat memberikan kelegaan kepada pihak IKS dan pengguna jalan raya di sini untuk tempoh jangka pendek (satu hingga tiga tahun),” ujarnya yang juga Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan.

Hadir sama Jurutera Daerah Barat Daya (DBD) Jabatan Kerja Raya (JKR), Wan Dika Che Daud; Megat Nazrin Helmy Shah Mohd. Nazri (Jurutera Jalan DBD JKR) dan wakil daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Mengulas lanjut, Abdul Halim memberitahu bahawa pihaknya telah mempunyai plan jangka panjang memandangkan tempat tersebut telah lebih 25 tahun berkembang sebagai kawasan IKS di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung.

Jelasnya, untuk tempoh jangka masa panjang kaedah jalan berkonkrit adalah sesuai untuk menampung lori bermuatan berat yang lalu saban hari.

“Kita akan melihat secara menyeluruh kerana dimaklumkan bahawa bukan di sini (Lintang Beringin 10) yang berlubang dan banjir, tetapi di jalan sekitarnya juga,” tambah beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI