Patuhi papan tanda, pakai jaket keselamatan – Rosidi

 

ROSIDI Hussain (dua dari kiri) sempat menemui bapa dan ahli keluarga mangsa lemas ketika mengadakan lawatan ke tempat kejadian di sini baru-baru ini.
ROSIDI Hussain (dua dari kiri) sempat menemui bapa dan ahli keluarga mangsa lemas ketika mengadakan lawatan ke tempat kejadian di sini baru-baru ini.

PENAGAPegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Penaga, Rosidi Hussain menasihati para pengunjung yang berkunjung ke Pantai Kuala Muda di sini supaya mematuhi papan tanda larangan di pesisir pantai.

I ni adalah ekoran kejadian membabitkan seorang pekerja kilang, Amran Mohd. Yusof, 28, dari Padang Serai, Kedah yang ditemui lemas ketika mencari kepah di Pantai Kuala Muda di sini baru-baru ini.

Rosidi yang turut bersimpati dengan keluarga mangsa berkata, selain mematuhi papan tanda, para pengunjung juga dinasihati supaya mengenakan jaket keselamatan sekiranya perlu.

Mengulas mengenai kejadian terbabit, Rosidi memberitahu bahawa, ketika kejadian, mangsa bersama kembarnya dan dua rakan lain sedang mencari kepah apabila ombak besar dan air pasang besar naik secara tiba-tiba.

“Mangsa tidak sempat melarikan diri lalu dihanyutkan ombak manakala kembarnya bersama dua rakan lain berjaya diselamatkan nelayan-nelayan yang kebetulan baru balik dari laut,’’ katanya ketika mengadakan lawatan ke tempat kejadian di sini baru-baru ini.

Turut serta dalam lawatan tersebut, KetuaPolis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim dan anggota Unit Amal Penaga.