Serambi PI : MEMBANTERAS GENERASI PENAKUT

 

PADA edisi kali ini, penulis ingin membawa pembaca untuk meneroka di antara lubuk-lubuk utama yang melahirkan generasi yang ‘penakut’. Aneh, tapi benar. Kita bercakap tentang Malam Jumaat. Pelikkan? Tapi malam yang penuh kemuliaan, kerana yang mengiringinya adalah hari teragung mingguan untuk umat Islam, semakin dicemari. Sumbernya? Sudah tentulah dari ‘hidangan’ momokan mitos, cereka layar panggung hinggalah ke kaca televisyen, yang seakan telah mengotorkan kesucian malam Jumaat itu. Malam barakah yang sepatutnya dihiasi dengan amal ibadah, yasin dan tahlil, tampak lebih mesra pula di kalangan umat Islam khususnya Melayu sebagai malam yang seram lagi menakutkan.

Di mana asalnya malam Jumaat dikaitkan dengan mitos seram dan ngeri ini, kita masih tidak tahu apa pencetusnya. Tapi apa yang pasti, bergenerasi lamanya, mungkin datuk, nenek kita telah menjadikan cerita-cerita seram berkaitan malam Jumaat ini sebagai mekanisma untuk menakut-nakutkan kita yang nakal semasa kecil dulu. Sedar atau tidak, cerita-cerita ini semakin mengakar dalam hidup orang Melayu, hatta hendak melintas pokok besar pun masih hendak meminta izin pada ‘datuk’ yang menjaganya.

Syarikat-syarikat produksi filem yang mengeluarkan lambakan cerita- cerita ‘hantu’ dan seram kepada syarikat televisyen perdana juga menyumbang kepada budaya negatif ini. Dari cerita klasik awal ‘Pontianak’ pada tahun 50-an hinggalah kepada kisah pontianak yang ‘disirikan’ mutakhir ini menggambarkan kepada kita akan sambutan hangat penonton kepada cerita-cerita yang mempunyai genre sedemikian.

Menambahkan lagi perisa dan rencah kepada ‘penghayatan’ cerita ini, sudah tentu pastilah slotnya ditayangkan pada malam Jumaat, malam yang kononnya amat ‘misteri’ bagi penggemar-penggemar alam mistik. Amat malang sekali apabila malam yang sepatutnya diisi dengan fadhilat kebesaran hari Jumaat, siri-siri diskusi ilmiah dan slot-slot tazkirah, diganti dengan pengisian mitos dan melalaikan. Islam tidak pernah menafikan akan kewujudan makhluk halus dan alam masa yang sama melarang kita takut kepadanya. Ketakutan kita yang paling hakiki hanyalah mutlak kepada Allah S.W.T. Cuma apa yang dilarang oleh Islam adalah sistem pengajaran yang menyogokkan minda kanakkanak khususnya pelajar dengan ketakutan yang tidak berasas.

Antara Ghaib & Mistik Minat yang mendalam kepada perkara ghaib ini jelas berlaku di kelas-kelas agama di sekolah, bila membincangkan tentang bab alam ghaib dan makhluk halus, yang menjadi perhatian pelajar adalah bagaimana rupa bentuk makhluk yang mengerikan itu (khususnya jin dan syaitan) dan bukannya kepada hal-hal yang memberitahu kenapa Allah S.W.T. menjadikan ‘mereka’ dan perihal bahawa ‘mereka’ juga wajib beriman kepadaNYA. Kecenderungan inilah juga yang dipercayai menjadi penyelesaian mudah bagi guru-guru menayangkan ‘sajak kematian’ kepada pelajar naif semuda 7 tahun di beberapa buah sekolah satu masa dahulu. Pelajar-pelajar yang masih belum mampu menilai apa yang tersirat dalam mesej video ini, hanya ditakut-takutkan dengan teknik grafik yang menggambarkan mayat yang sedang dihisab dan diseksa di dalam kubur.

Kesan langsung akibat pendidikan dan rangka bina kehidupan seseorang yang selama ini diisi dengan elemen-elemen seram dan tahyul, tidak dapat tidak akan melahirkan generasi yang penakut. ‘Ketakutan buatan’ inilah yang menjadikan generasi muda kita pada hari ini seakan takut mencuba, takut gagal, takut ke depan, hatta mahu memberi cadangan pun takut juga. Generasi muda yang penakut ini, hanyalah generasi yang berani bercakap, dan bila digertak mereka akan pasti lari berantakan. Generasi muda yang penakut adalah generasi yang Nampak tegap fizikalnya tetapi emosi dan spiritualnya nipis senipis kulit bawang. Generasi penakut ini telah dibiasakan dengan takut kepada cabaran dan sentiasa mahukan kemewahan dalam hidup semata-mata. Generasi inikah yang kita mahu menjadi pelapis kepimpinan kita pada masa akan datang?

Justeru, budaya memomokkan anak bangsa kita dengan ketakutan wajar dihentikan segera. Ia harus bermula dengan kesedaran ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan kasih sayang dan ketegasan dan bukannya dengan momokan ketakutan dan tahyul. Pihak Kementerian Penerangan juga wajar mengeluarkan arahan tegas agar setiap syarikat televisyen menghentikan menyiarkan tayangan berunsur seram pada setiap malam Jumaat demi menghormati hari yang mulia itu. Arahan ini penting agar timbul rasa tanggungjawab kepada pengusaha syarikat televisyen terhadap setiap satu program yang disiarkan.

Tidak dinafikan ‘hit’ atau respon penonton muda terhadap rancanganrancangan seperti ini memang tinggi, serta slot iklan di celah-celah cerita seram itu juga menyumbang kepada ‘pengayaan’ dana syarikat-syarikat televisyen gergasi negara. Sedarlah, setiap satu saat tayangan yang sarat dengan budaya negatif ini akan memberi kesan langsung kepada pembentukan akhlak generasi muda kita.

SYED MIKAEL RIZAL AIDID

Eksekutif Komunikasi & Program Penang Institute