PBAPP: Bekalan air terawat ke seluruh negeri pulih sepenuhnya

Admin
KETUA Menteri (tengah) dalam sidang media berkaitan di Jawi pada awal pagi tadi.

JAWI – Bekalan air terawat ke seluruh negeri ini telah dapat dipulihkan sepenuhnya kepada 660,000 pemegang akaun, demikian kemas kini Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada laman Facebook rasminya pada jam 11 pagi tadi.

KETUA Menteri

Menjawab soalan pemberita pada pagi tadi, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow bagaimanapun berkata sehingga semalam masih terdapat tiga rumah pangsa tertentu yang dikatakan masih mengalami gangguan bekalan air terawat di bahagian pulau mungkin disebabkan berada di kawasan tinggi.

“Sistem penyampaian air (terawat) memang mempunyai pelbagai kekangan teknikal yang mana rumah-rumah pam seperti di tangki air Bukit Dumbar semuanya perlu diisi air terawat terlebih dahulu sebelum disalurkan kepada pengguna.

“Ada kalanya, masalah wujud dalam kawasan perumahan pangsa itu sendiri seperti rumah pam tidak berfungsi dan dipam ke paip (pengguna) dan sebagainya.

“Dan, kawasan di ketinggian lebih tinggi kerana air terawat akan sampai ke kawasan yang lebih rendah terlebih dahulu sebelum tekanan air yang telah penuh di kawasan rendah boleh dibawa ke lokasi lebih tinggi atau kawasan perumahan di lereng bukit atau di (kawasan) yang lebih tinggi,” jelasnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pemajuan Nibong Tebal Arena di sini pada 12 Julai 2022.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa dilaporkan berkata pada jam 6 pagi Rabu (6 Julai 2022), kekeruhan air mentah yang dipam dari Sungai Muda (melalui Terusan Sungai Dua) ke loji itu direkodkan 3,000 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU) serta memaksa operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dihentikan dan membawa gangguan bekalan air sebelum ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS