Pulau Pinang kedua tertinggi daripada segi peratus terima dos penggalak pertama

Admin

JAWI – Sebanyak 60.9 peratus atau 1,080,170 penduduk Pulau Pinang direkodkan menerima dos penggalak pertama setakat ini, sekali gus menjadikan negeri ini kedua paling tinggi di belakang Lembah Klang, lapor statistik berdasarkan portal rasmi COVIDNOW hari ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri yang menyebut seramai kira-kira 7 juta penduduk negara direkodkan masih belum menerima suntikan dos penggalak pertama.

“Pulau Pinang masih (berada pada kedudukan) tinggi berbanding negeri-negeri lain, kira-kira 60 peratus rakyat Pulau Pinang telah menerima suntikan dos penggalak (pertama).

“Selain Lembah Klang, kita (Pulau Pinang) berada pada kedudukan kedua daripada segi peratusan,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dak Komunikasi selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pemajuan Nibong Tebal Arena di sini pada 12 Julai 2022.

Sehubungan itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong berharap mereka yang berkenaan supaya segera mendapatkan suntikan dos penggalak pertama.

“Selari dengan seruan Kementerian Kesihatan (KKM), sekiranya kita merasakan tidak memerlukannya, sekurang-kurangnya dapatkan suntikan dos penggalak ketiga yang dikira lebih wajib berbanding dos keempat,” seru beliau.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS