PBAPP sasar 100 peratus operator pengendalian air cekap menjelang tahun hadapan – Jaseni

Admin

GEORGE TOWN – Sebanyak 75 peratus iaitu kira-kira 400 operator pengendalian air di bawah Perbadanan Pembangunan Air Pulau Pinang (PBAPP) mempunyai kecekapan dan memiliki Sijil Kemahiran Malaysia Melalui Kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT).

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd (PBAHB) dan PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa sebentar tadi selepas menghadiri Promosi Program SKM-PPT Malaysia Water Academy (MWA) Zon Utara dekat Komtar pagi tadi.

Jaseni berkata, pihaknya (PBAPP) mensasarkan untuk terus meningkatkan kualiti operasi melalui 100 peratus pengendalian pekerja cekap menjelang tahun hadapan.

Bagi operator pengendalian air, margin untuk kesilapan manusia akan sentiasa rendah, manakala impak sosial dan kos ekonomi untuk kesilapan itu akan sentiasa tinggi.

Dalam konteks ini, latihan kompetensi dan pensijilan adalah keperluan kritikal untuk mengekalkan perkhidmatan bekalan air yang baik,” ujarnya.

Hadir sama Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Datuk Ir. Abdul Kadir Mohd. Din dan Dr. Hapidah Mohamed (Pengerusi Eksekutif MWA).

Seramai hampir 300 operator pengendalian air dari PBAPP, Syarikat Air Perlis (SAP) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) terlibat dalam program SKM-PPT MWA peringkat Zon Utara.

Pada sidang media sama, Jaseni menegaskan bahawa pengendali air yang bertanggungjawab mesti bersedia untuk melabur dalam merekrut, melatih dan mengekalkan kakitangan yang kompeten dalam melaksanakan tugas yang betul dengan cara yang betul, 24 jam sehari, 7 hari seminggu.

Oleh kerana air merupakan unsur penting untuk kehidupan seharian dan akviti sosioekonomi, bekalan air adalah perkhidmatan awam yang penting.

Walau bagaimanapun, kejuruteraan bekalan air adalah bidang kejuruteraan khusus yang memerlukan latihan, kemahiran dan pengetahuan tertentu,” ujarnya lanjut sambil berkata untuk melahirkan pekerja yang kompeten, PBAPP sejak tahun 2007 mempunyai sebuah Akademi Perkhidmatan Air Pulau Pinang (PWSA).

Dalam tempoh 11 tahun lalu, PWSA telah merekodkan seramai 3,548 pelatih di mana ia telah melatih kakitangan daripada 11 operator aor di Malaysia, badan pengawal selia bekalan air (4), jabatan kerajaan (2), institut vokasional (4) serta pelatih luar negara dari Indonesia, Myanmar, Nepal dan Vietnam.

Dalam pada itu, menurut Hapidah, program SKM-PPT adalah pensijilan kecekapan yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia, Malaysia.

Program tersebut membolehkan para pekerja berpengalaman dan mahir untuk mendapatkan pensijilan peringkat SKM tanpa perlu menjalani latihan vokasional formal atau sepenuh masa dan ia tersedia untuk pekerja mahir yang memenuhi semua keperluan yang ditetapkan di bawah Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS),” jelasnya.