PBAPP utamakan penggantian paip kritikal berdasarkan tahap risiko

6786b2d9 b1a7 42d9 8571 b03b5163b1fc

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melaksanakan pendekatan pengurusan aset paip secara sistematik dan berasaskan risiko, termasuk penyelenggaraan pencegahan serta penggantian paip kritikal bagi mengurangkan kejadian paip pecah berulang di negeri ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, pendekatan tersebut turut merangkumi pembaikan segera bagi kerosakan setempat bagi memastikan kesinambungan bekalan air kepada pengguna tidak terjejas dalam tempoh panjang.

Menurut beliau, keutamaan penyelenggaraan dan penggantian paip ditentukan berdasarkan sejarah kejadian paip pecah dan kebocoran, umur serta jenis bahan paip, keadaan fizikal, tekanan operasi dan impak gangguan bekalan air kepada pengguna.

“Paip kritikal merujuk kepada paip utama yang kerosakannya berpotensi menyebabkan gangguan bekalan air berskala besar serta menjejaskan kemudahan penting, aktiviti ekonomi dan keselamatan awam.

“Justeru, paip yang kerap mengalami kerosakan atau dikenal pasti berisiko tinggi akan diberi keutamaan untuk penilaian teknikal, penyelenggaraan, penaiktarafan atau penggantian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol, mengenai rasional dan dasar jangka panjang Kerajaan Negeri dalam menangani kejadian paip pecah berulang.

Mengikut rekod PBAPP, sebanyak 1,731 kes paip pecah atau kebocoran melibatkan paip bersaiz 100 milimeter (mm) dan ke atas direkodkan pada 2023, sebelum meningkat kepada 1,864 kes pada 2024 dan 1,966 kes pada 2025.

Menurut Zairil, lebih 80 peratus daripada kejadian tersebut melibatkan paip agihan bersaiz 100mm dan 150mm, sekali gus menjadi antara asas penilaian PBAPP dalam menentukan keutamaan penyelenggaraan dan penggantian paip.

“Sebagai contoh, PBAPP telah merancang penggantian paip sepanjang lapan kilometer di kawasan perumahan Tingkat Bukit Kecil dengan anggaran peruntukan RM11 juta bagi menangani kejadian kebocoran berulang.

“Projek berkenaan kini berada pada fasa akhir reka bentuk dan kerja-kerja penggantian dijadualkan untuk diiklankan pada suku keempat 2026,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Zairil, bagi kawasan Pantai Jerejak, PBAPP melaksanakan pemantauan dan penilaian teknikal secara berterusan bagi mengenal pasti punca tekanan air rendah.

“Berdasarkan pemantauan semasa, tekanan bekalan air di kawasan berkenaan melebihi 10 meter turus air (mH), sekali gus memenuhi keperluan minimum yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Serentak itu, Kerajaan Negeri melalui PBAPP akan terus memperkukuh pengurusan aset paip menerusi penyelenggaraan pencegahan dan penggantian berasaskan risiko serta meningkatkan kebolehpercayaan sistem bekalan air Pulau Pinang,” tegasnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT