PBS Taman Sukun siap siaga bantu penduduk setempat hadapi gangguan bekalan air

Admin
82fb8e8a 313d 43c3 928f 6fa3dfe71fbb

MACHANG BUBUK – Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Taman Sukun, Bukit Mertajam bersiap-siaga dan komited membantu penduduk sekitar menghadapi tempoh gangguan bekalan air bermula 10 Januari ini.

 

fce3d98e 401f 43d3 b11f b03cfd7ddaab

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kawasan Bukit Mertajam, Datuk S.N. Lee menyatakan bahawa sehingga kini, pihaknya dipercayai dapat menyediakan 17,000 liter air pada satu-satu masa bagi kegunaan kawasan-kawasan yang terlibat.

 

 

“Kami sedang jalankan persediaan mengikut lokasi-lokasi strategik agar semuanya berjalan lancar dan bukannya pada saat-saat akhir.

 

 

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang telah memaklumkan lebih awal (kira-kira satu bulan) untuk semua pihak membuat persediaan.

 

 

“Saya berharap PBAPP dapat siapkan kerja-kerja (menukar injap 1200 milimeter di Loji Rawatan Air Sungai Dua) lebih awal, dan kita juga bersedia sekiranya masa lebih lama diambil,” ujarnya ketika menerima lawatan khas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bagi melihat persediaan PBS Taman Sukun Bukit Mertajam bagi berdepan dengan gangguan bekalan air di sini sebentar tadi.

 

 

Turut hadir, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri/Setiausaha Akhbar Kepada Ketua Menteri, Yap Lee Ying dan Pengerusi PBS Taman Sukun, Loh Soon Lee.

 

 

Difahamkan, kira-kira seramai 200,000 hingga 300,000 penduduk sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) bakal terjejas ekoran gangguan air yang diumumkan sebelum ini.

 

 

Dalam pada itu, Kon Yeow merakamkan ucapan terima kasih kepada lapan PBS di Bukit Mertajam yang dilihat sudah bersedia dalam menghadapi segala kemungkinan.

 


“Walau apapun kritikan diterima, yang penting adalah kita perlu fokus untuk memastikan operasi (membantu penduduk terjejas) berjaya, malah kita juga faham dengan masalah yang ada, yang mana kita juga telah mengumumkan projek-projek kontingensi sebelum ini dan memerlukan masa untuk pelaksanaan.

 

 

“Dengan bantuan PBS, diharap penduduk-penduduk mendapat bekalan air daripada pihak berkaitan di sini dan perkhidmatan mereka (PBS) mungkin masih diperlukan sekiranya SPT dapat semula bekalan air.

 

 

“Ini meliputi kawasan-kawasan lain seperti SPS (Seberang Perai Selatan), Barat Daya yang mana ia amat membantu dalam keadaan sedemikian kelak,” ulasnya yang juga Pengerusi PBAPP.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT