Teliti isu dihadapi kontraktor Bumiputera tempatan

Admin
whatsapp image 2024 01 02 at 15.33.57

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti isu-isu yang dibangkitkan oleh Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Pulau Pinang.

 

Kon Yeow berkata, terdapat isu-isu yang dibangkitkan membabitkan penganugerahan kontrak projek dikendalikan pada peringkat Persekutuan yang mana itu adalah di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri.

 

“Pada peringkat Negeri, pihak saya akan meneliti isu-isu yang dibangkitkan dan masih perlu merujuk pihak berkaitan kerana masing-masing mempunyai pertimbangan tertentu mengikut kriteria-kriteria ditetapkan,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

 

Isu berkaitan tatacara perolehan cabutan undi dan pengagihan kontrak projek yang lebih memihak kepada syarikat konsesi merupakan antara isu utama yang dibangkitkan oleh PKBM Pulau Pinang kepada Kon Yeow.

 

Terdahulu, Yang Dipertua PKBM Pulau Pinang, Datuk Izham Datuk Omar Merican mengetuai delegasi mengadakan kunjungan hormat dan bertemu Kon Yeow di Komtar pada 2 Januari 2024.

 

Antara lain, pada pertemuan selama 30 minit itu, PKBM Pulau Pinang turut menyuarakan kebimbangan apabila terdapat dalam kalangan kontraktor Bumiputera Kelas G1 dan G2 yang tidak menerima apa-apa kontrak projek sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini dan terpaksa ‘gulung tikar’.

whatsapp image 2024 01 02 at 15.33.57 (1)
PERBINCANGAN berlangsung pada sesi kunjungan hormat di sini.

Menurut Izham, selain kenaikan harga bahan binaan pasca PKP, para kontraktor Bumiputera juga bimbang apabila terdapat sesetengah kontrak projek yang dianugerahkan kepada kontraktor luar dan bukannya kontraktor tempatan sedia ada.

 

“Hal ini telah menimbulkan kerisauan kerana peluang mendapatkan kontrak kerja adalah tipis sehingga ada dalam kalangan ahli yang tidak menerima apa-apa kontrak kerja pun sejak PKP,” katanya yang juga Timbalan Presiden PKBM.

 

Selain itu, PKBM Pulau Pinang turut mengetengahkan isu kesukaran mendapatkan kontrak projek daripada pihak swasta serta meminta supaya Kerajaan Negeri meneliti semula agihan kontrak projek kerajaan membabitkan kontraktor kelas rendah.

 

Sebelum mengakhiri pertemuan, pihak PKBM Pulau Pinang melontarkan cadangan untuk mengadakan Hari Bertemu Pelanggan dan menjemput Kon Yeow hadir sebagai perasmi di samping bertemu dengan para kontraktor Bumiputera di negeri ini.

 

Timbalan Yang Dipertua PKBM Pulau Pinang, Datuk Abdul Jalil Mohd. Hassan; Naib Yang Dipertua PKBM Pulau Pinang, Mohd. Baqir Harbibullah; Bendahari Kehormat merangkap Timbalan Pengerusi Biro Wanita Malaysia, Rosmariah Ishak serta Ahli Jawatankuasa PKBM Pulau Pinang, Ahmad Shahreazal Abdul Rashid dan Zuki Hassan antara yang turut serta pada pertemuan tersebut.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN