PBT turut hadapi kesan berantai GST Pusat – KM

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BAGAN DALAM – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dijangka turut berdepan dengan kesan berantai jika Kerajaan Pusat masih berdegil untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April depan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kadar enam peratus GST sepatutnya tidak dikenakan ke atas Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kerana kedua-dua operasi PBT itu bukanlah berorientasikan perniagaan atau keuntungan.

Justeru, beliau berkata, kenaikan kos operasi PBT yang hakikatnya berpunca oleh pelaksanaan GST nanti akhirnya terpaksa ditanggung oleh rakyat terbanyak di negeri ini juga.

“PBT bukanlah organisasi perniagaan, namun, kita ‘dipaksa’ mengutip cukai dan bayar kepada pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

“MPSP secara kasar membelanjakan lebih RM1.76 juta apabila menjelangnya GST, tetapi, itu tidak termasuk kos perkhidmatan dan pengurusan.

“Jika ditambah (susulan pelaksanaan GST), ianya mungkin mencecah RM2 juta,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Guan Eng berkata demikian sejurus mengumumkan projek penarafan Bangunan Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi dengan membina satu lagi Penang Science Cafe (PSC) di sini.

Lanjutan itu, beliau turut menggesa rakyat supaya terus menyuarakan protes kepada Kerajaan Pusat berhubung pelaksanaan GST yang kononnya tidak akan membebankan individu yang tidak terlibat dengan aktiviti perniagaan.

“(Kadar) tempat letak kereta pun selepas ini mungkin naik, misalnya dari 40 sen setengah jam akan menjadi 42 sen.

“Di sini, terbukti dengan jelas jika makan gaji pun anda akan kena cukai GST, bukan peniaga sahaja.

“Dalam keadaan nilai Ringgit (Malaysia) yang lemah, saya amat berharap cukai GST ini dapat ditangguhkan untuk beberapa tahun lagi,” tegas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Pada perkembangan lain, Guan Eng turut menempelak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dilihat gagal menurunkan kadar tarif elektrik ketika syarikat terbabit direkodkan untung sebanyak 35 peratus ekoran suasana harga minyak mentah dunia kian menurun ketika ini.

Sebelum itu, Yang di- Pertua MPSP, Dato ‘ Maimunah Mohd. Sharif berkata, kemungkinan kadar sewa lot-lot gerai dan pasar akan dinaikkan kelak disebabkan kesan berantai pada pelaksanaan GST.

“Banyak perkara akan terlibat, tetapi kita (MPSP) tidak boleh dedahkan sehingga laporan diluluskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” jelas beliau.

Tender pembinaan PSC di Dewan Haji Ahmad Badawi telahpun diiklankan sejak 28 Januari lalu sehingga 25 Februari lalu, manakala, kerja-kerja pemajuan dijangkakan bermula pada 30 Mac depan yang mengambil masa empat bulan.

Ia antaranya, menggantikan struktur kerangka bumbung, penyelenggaraan dewan dan bilik, membaiki penebat bunyi, mengecat semula, penyediaan bekalan air berasingan dan pendawaian elektrik baru untuk PSC yang berkeluasan 275.55 meter persegi, kerja-kerja pelebaran dewan besar seluas 270 meter persegi, dan pertambahan keluasan dewan besar seluas 297 meter persegi.