PDC buru lebih banyak kejayaan, sasar podium SUKANUN 2027 selepas gemilang di GEMAPUTERA Sarawak

Admin
img 20260805 wa0052

BAYAN LEPAS – Kejayaan muncul antara tiga kontinjen terbaik pada Temasya Sukan GEMAPUTERA XVIII Sarawak 2026 menjadi pembakar semangat kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk melangkah lebih jauh apabila kini mula mengatur strategi awal bagi menghadapi Kejohanan Persatuan Badan-Badan Berkanun Malaysia (SUKANUN) 2027.

Selepas menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan menerusi kutipan empat pingat emas, satu perak dan satu gangsa, PDC optimis mampu meningkatkan pencapaian pada kejohanan berprestij itu yang menghimpunkan badan-badan berkanun, perbadanan pembangunan negeri, institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa tempatan dari seluruh negara.

Ketua Unit Komunikasi Korporat PDC, Zulkifli Ismail berkata, persiapan awal amat penting memandangkan tahap persaingan di SUKANUN jauh lebih sengit berbanding GEMAPUTERA.

img 20260805 wa0047
Zulkifli Ismail.

“Jika GEMAPUTERA hanya melibatkan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN), Sukanun pula menghimpunkan lebih banyak agensi dari seluruh negara.

“Sudah tentu persaingannya lebih mencabar, sebab itu kami akan memulakan persiapan lebih awal bagi memastikan kontinjen berada pada tahap terbaik,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui dekat Pejabat PDC di sini semalam.

Temasya GEMAPUTERA XVIII Sarawak 2026 yang berlangsung pada Julai lalu menghimpunkan lebih 1,000 atlet dan pegawai daripada 13 PKEN serta satu kontinjen Wilayah Persekutuan.

Pada kejohanan tersebut, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) muncul juara keseluruhan, diikuti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), manakala PDC berjaya meraih tempat ketiga daripada 14 kontinjen yang bertanding.

Menurut Zulkifli, PDC mempertaruhkan kira-kira 130 atlet yang kesemuanya terdiri daripada kakitangan sendiri tanpa mendapatkan khidmat pemain luar.

“Kami menyertai tujuh daripada lapan acara yang dipertandingkan dan tidak mengambil bahagian dalam e-Sukan.

“Semua atlet adalah warga kerja PDC sendiri dan hasilnya, kami berjaya membawa pulang empat pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa,” katanya.

img 20260805 wa0054img 20260805 wa0053

Lebih membanggakan, PDC berjaya mempertahankan dua pingat emas yang dimenangi ketika menjadi tuan rumah edisi terdahulu menerusi acara berpasukan badminton dan bola jaring.

Dua lagi pingat emas diperoleh menerusi acara boling bagi kategori perseorangan lelaki dan beregu lelaki, selain meraih pingat perak dalam acara beregu campuran boling serta pingat gangsa menerusi acara pickleball.

Mengimbau penyertaan di SUKANUN 2025, Zulkifli berkata pasukan bola jaring PDC pernah muncul naib juara selepas tewas tipis kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada perlawanan akhir.

Justeru, beliau berkata, PDC bukan sahaja menyasarkan kutipan pingat yang lebih baik pada edisi akan datang, malah bercadang menambah penyertaan dalam lebih banyak acara sukan.

“Pada SUKANUN sebelum ini kami hanya menyertai lima acara.

“Kali ini kami mahu memperluaskan penyertaan dan sudah tentu sasaran kami adalah membawa pulang lebih banyak pingat serta mencipta pencapaian yang lebih cemerlang buat PDC dan Pulau Pinang,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS