PDC, CIDB meterai MoU demi tingkatkan kualiti keselamatan industri pembinaan di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama-sama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) demi meningkatkan lagi tahap kualiti, keselamatan dan kesihatan dalam industri pembinaan di sini.

Menerusi MoU tersebut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu, PDC akan melaksanakan Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (QLASSIC).

“QLASSIC merupakan satu kaedah untuk mengukur kualiti kerja pembinaan berdasarkan standard yang diluluskan.

“Saya difahamkan CIDB amat komited bagi menjayakan pelaksanaan QLASSIC melalui program kursus kesedaran, kursus latihan penilai dan penilaian pengetahuan QLASSIC.

“Kursus dan latihan ini amat diperlukan untuk memberi kefahaman dan kemahiran kepada pegawai-pegawai teknikal PDC (iaitu) jurutera supaya dapat melaksanakan projek-projek PDC sedia ada dan masa depan berdasarkan QLASSIC,” jelasnya sebelum menyaksikan majlis tandatangan MoU berkenaan di Komtar pada 24 Oktober 2018.

Menurut Kon Yeow, PDC juga sedang bekerjasama dengan CIDB dalam pelaksanaan Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pembinaan (SHASSIC), iaitu kaedah untuk menilai prestasi keselamatan serta kesihatan kontraktor dalam satu-satu projek atau kerja pembinaan.

Dengan sokongan CIDB, beliau memberitahu bahawa PDC melaksanakan QLASSIC dalam projek Perumahan Mampu Milik Suria 1 Bandar Cassia dekat Batu Kawan, dan berjaya mendapat skor markah yang baik iaitu 74 peratus.

Selain Kon Yeow, turut berucap ialah Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan Teknologi CIDB Malaysia, Datuk Ir. Elias Ismail.

Elias mewakili CIDB dalam majlis tandatangan MoU, sementara PDC diwakili Pengurus Besarnya, Datuk Rosli Jaafar.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Che dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyaksikan majlis tandatangan MoU antara dua pihak terbabit.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN