PDC diminta segera tangani kerosakan struktur jalan baharu ke Jambatan Valdor

Admin
JALAN raya dan Jambatan Valdor yang baru dibuka pada 7 Julai 2020 ternyata menjadi laluan penting kenderaan berat yang membawa lebih muatan di sini.

BUKIT TAMBUN – Jalan raya serta Jambatan Valdor sepanjang 2 kilometer (km) yang baru dibuka pada 7 Julai 2020 kelihatan dalam keadaan rosak dan berlopak dipercayai akibat menjadi laluan penting kenderaan-kenderaan berat membawa lebih muatan.

KETUA Menteri

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow meminta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) supaya melihat semula kajian reka bentuk kejuruteraan pada projek infrastruktur awam tersebut serta mengemukakan pelan jangka pendek demi keselesaan pengguna jalan raya secara keseluruhannya.

“Pandangan awam adalah tidak boleh terima kegagalan (kerosakan) sebatang jalan baharu, walaupun pihak PDC dan Jabatan (Kerja Raya, JKR) ada justifikasi kenapa (kerosakan struktur jalan) berlaku, antaranya dipercayai disebabkan muatan lebih lori-lori (tanah yang menggunakan jalan ini).

“Jalan Bukit Tambun boleh menerima lori yang membawa lebih muatan (dan tidak merosakkan struktur jalan raya sedia ada), mengapa jalan raya baharu ini tidak boleh.

“Saya berharap PDC dapat mencari satu penyelesaian,” jelasnya selepas meninjau sendiri keadaan struktur jalan raya tersebut di sini pada 17 November 2020.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ketua Pegawai Eksekutif Eksekutif PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar dan Timbalan Pengurus Besar Kanan PDC, Dato’ Ir. Yeoh Lean Huat.

Difahamkan, tujuan asal PDC membinan dan menaik taraf jalan raya serta Jambatan Valdor sepanjang 2 kilometer (km) dengan kos kira-kira RM35 juta adalah untuk menampung jumlah trafik ke bandar baharu Batu Kawan pada masa hadapan.

Jalan raya serta Jambatan Valdor tersebut dibuka pada 7 Julai 2020.

Dalam reaksi spontan, Lean Huat memberitahu bahawa pihaknya akan memasang pengadang pada salah satu laluan untuk kegunaan kenderaan ringan, sementara jalan raya yang telah sedia rosak dan berlopak berkaitan dibuka untuk laluan kenderaan berat sahaja.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS