Garis panduan ‘homestay’ dijangka muktamad akhir tahun – Exco

Admin

PULAU TIKUS – Kerajaan Negeri kini sudah merumuskan ketetapan mengenai penginapan jangka pendek ataupun ‘homestay’ melibatkan kediaman bertingkat di Pulau Pinang.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, satu jawatankuasa yang diketuai oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan meneliti garis panduan berkaitan sebelum dimuktamadkan kelak.

 

“Garis panduan ini dijangka akan dimuktamadkan pada akhir tahun ini dalam mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih harmoni dan selesa kepada semua penduduk.

 

“Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan sebarang idea dan cadangan bagi menambah baik garis panduan tersebut,” ujar beliau ketika melakukan lawatan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kediaman berstrata dekat Gurney Park pagi ini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Pengarah Pesuruhjaya Bangunan MBPP, Sr. Nik Ariff Long Dir dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Gurney Park, Jeniffer Tan.

 

Menurut Jagdeep, sekiranya kebenaran menjadikan unit kediaman bertingkat sebagai ‘homestay’, ia mestilah dipersetujui oleh semua penduduk melalui undi atau sokongan dalam mesyuarat agung luar biasa badan pengurusan.

 

Jelasnya lagi, pada peringkat persekutuan undang-undang mengenai penginapan jangka pendek di kediaman berstrata belum wujud dengan jelas.

 

“Isunya adalah di Malaysia kita tidak ada garis panduan ataupun undang-undang tetap untuk menangani isu ‘homestay’ ini.

 

“Saya telah berhubung dengan Kementerian (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) untuk tangani isu ini, namun perlu ada polisi peringkat nasional.

 

“Esok saya akan hadir satu mesyuarat dalam talian bersama-sama Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) yang akan dipengerusikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadlilah Yusof dan dalam mesyuarat itu ada agenda mengenai pengurusan strata, maka saya akan bangkitkan isu ‘homestay’ ini.

 

“Kemudian kita akan melihat sama ada peruntukan undang-undang strata mungkin dapat diperhalusi atau dipinda untuk tangani isu ‘homestay’ ini,” ulasnya.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu memandangkan tiada undang-undang tetap, ramai yang menyalahgunakan kediaman berstrata dan beliau berharap kementerian berwajib dapat melihat perkara ini dengan lebih serius.

 

Dalam perkembangan lain, Jagdeep memaklumkan bahawa kadar pematuhan SOP dalam memutuskan rantaian COVID-19 oleh seluruh rakyat di negeri ini melebihi 99 peratus.

 

“MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mengadakan sebanyak 1.09 juta pemeriksaan.

 

“Kadar pematuhan pemeriksaan oleh MBPP berada pada kadar 99.69 peratus di bahagian pulau manakala di Seberang Perai (99.36 peratus),” katanya.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN