PDC tambun tanah seluas 145 ekar di Ladang Byram untuk penempatan industri terpilih – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Tujuan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) melaksanakan kerja-kerja menambun tanah seluas 145 ekar di Ladang Byram dekat daerah Seberang Perai Selatan adalah untuk dijadikan kawasan industri terpilih serta projek pembangunan am lain pada masa hadapan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu sehingga kini, Fasa 1 projek tersebut mula dilaksanakan pada 15 Jun lepas dan dijangka mengambil masa selama 18 bulan untuk siap.

“Pada peringkat ini, jenis industri yang dikenal pasti untuk ditempatkan di Ladang Byram adalah dari kategori industri ‘promoted’ dan am.

“(Kerja tambun tanah di Ladang Byram) ini bagi menampung permintaan dari pelabur tempatan dan asing,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dalam Sesi Soal Jawab Lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-14 di Dewan Sri Pinang pagi ini.

JASON H’ng Mooi Lye

Sebelum pada itu, ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye membangkitkan soalan mengenai pelan pembangunan zon industri yang bakal dilaksanakan oleh PDC di Ladang Byram.

Kon Yeow memberitahu bahawa cadangan projek tambun tanah di Ladang Byram secara keseluruhan melibatkan tujuh fasa.

Namun, katanya lagi, sehingga kini hanya Fasa 1 dilaksanakan oleh agensi negeri tersebut.

“Pada peringkat ini, hanya tambun tanah Fasa 1 dilaksanakan iaitu berkeluasan 145 ekar,” responsnya kepada Mooi Lye.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD