PDC Telco kutip RM1.82 juta tunggakan sewaan menara telekomunikasi

GEORGE TOWN – Sejumlah RM1.82 juta jumlah tunggakan hasil bagi sewaan struktur menara telekomunikasi di negeri ini berjaya dikutip oleh PDC Telecommunications Services Sdn. Bhd. (PDC Telco) setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, P. Ayappan Pappu Pillay memberitahu bahawa ia menjadikan jumlah baki semasa yang masih belum dikutip ketika ini hanyalah sebanyak RM390,000.

P. Ayappan Pappu Pilay.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab beberapa isu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2018 Siri 3 termasuk tunggakan hasil sewaan struktur telekomunikasi berjumlah RM2.21 juta yang masih belum dikutip oleh PDC Telco.

“Tunggakan hasil sewaan telah berjaya dikurangkan sebanyak 86 peratus dengan penyelenggaraan pula dilakukan secara berkala sebanyak empat kali setahun manakala audit tapak dibuat tiga kali setahun.

“Di samping itu, LKAN juga membangkitkan mengenai pelantikan kontraktor yang tidak mematuhi prosedur perolehan ditetapkan serta kelulusan pemilihan kontraktor diputuskan melalui resolusi Lembaga Pengarah sahaja.

“Bagi makluman, semua kelemahan yang dibangkitkan sudah diperbaiki pada tahun 2018 dengan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu dan perkara ini telah dilanjutkan kepada Jabatan Audit Negara,” katanya pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari serta Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin.

Mengulas lanjut, Ayappan berkata, kemampuan PDC Telco membayar dividen berjumlah RM 4 juta pada tahun 2018 dan RM6 juta (2019) kepada Perbadanan Pembangunan Pulau pinang (PDC) membuktikan kedudukan kewangan syarikat berkaitan adalah kukuh.

“PDC Telco juga merekodkan keuntungan bagi tempoh lima tahun berturut-turut selain tahap kecairan dan kestabilan menunjukkan syarikat berupaya menyelesaikan obligasi pada bila-bila masa serta mampu membiayai aktiviti yang dirancang.

“Bagi tahun 2018, PDC Telco merekodkan hasil berjumlah RM10.61 juta manakala tahun 2019 pula adalah sebanyak RM12.66 dan dijangka meningkat kepada RM13 juta pada 2020,” ulasnya lagi.

Mengulas mengenai teguran LKAN berkaitan pembinaan lima struktur telekomunikasi tanpa kebenaran, Ayappan menjelaskan bahawa kelima-lima struktur tersebut dibina selepas mendapat kelulusan awal daripada pihak berkuasa Negeri pada 2010.

Walau bagaimanapun katanya, binaan struktur berkenaan gagal mematuhi syarat yang terkandung dalam Prosedur dan Garis Panduan Menara dan Struktur Pemancar Telekomunikasi Negeri Pulau Pinang yang dilancarkan pada 2015.

“Oleh itu, PDC Telco telah merobohkan dua struktur manakala tiga lagi dibiarkan tidak beroperasi sehingga kepatuhan syarat-syarat dicapai.

“Kini, dua daripada tiga struktur berkaitan telah kembali beroperasi manakala satu lagi akan beroperasi semula selepas mendapat kelulusan Lesen Pendudukan Sementara dan kelulusan pelan bangunan,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD