PANTAI JEREJAK – Sejak penubuhannya pada tahun 1969, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) terus unggul sebagai institusi pembangunan negeri yang berwibawa dan berorientasikan rakyat.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa PDC telah memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan sosioekonomi Pulau Pinang melalui pelbagai projek yang terancang, mampan dan inklusif.
“Sepanjang lebih lima dekad, pelbagai inisiatif yang dijalankan bukan sahaja berjaya mengubah landskap fizikal negeri tetapi turut membawa manfaat holistik kepada rakyat melalui penyediaan perumahan mampu milik, pembangunan insdustri strategik, peluang pekerjaan dan pembentukan ekosistem keusahawanan tempatan.
“Semua nilai, misi dan kebertanggungjawaban sosial ini telah menjadi budaya kerja warga PDC dan diterjemahkan melalui tindakan yang memberi impak nyata kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Natal PDC di Autrium PDC dekat sini sebentar tadi.



Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar dan Pengerusi Sambutan Perayaan Krismas PDC, Chiam Ter Ping.
Kon Yeow memberitahu bahawa dengan nilai wibawa yang disemai sejak lebih 50 tahun lalu berserta sokongan daripada Kerajaan Negeri, PDC mampu berdepan dengan pelbagai cabaran dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Justeru, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga PDC atas komitmen berterusan sehingga menjadikan agensi pembangunan negeri itu sebagai sebuah organisasi bernilai berbilion ringgit bagi tempoh 10 tahun ini.
“Hasil daripada mesyuarat Lembaga Pengarah PDC hari ini, kita telah menerima laporan mengenai cabaran dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Kerajaan Negeri juga ambil maklum bahawa PDC akan berdepan pelbagai cabaran untuk menyediakan tanah-tanah industri, infrastruktur dan sebagainya.
“Namun begitu, saya percaya bahawa dengan budaya yang dimulakan lebih 50 tahun dahulu, serta dengan sokongan Kerajaan Negeri, PDC mampu menghadapi cabaran ini dan terus kekal menjadi peneraju pembangunan di negeri ini,” ujarnya lanjut.
Selain dihidangkan dengan pelbagai juadah enak, hadirin juga turut dihiburkan dengan nyanyian lagu-lagu mengasyikkan yang didendangkan oleh artis tempatan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD