PECS platform belia, ibu tunggal cungkil potensi

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI


GEORGE TOWN – Bagi membolehkan para belia, ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan mengasah minat, bakat serta mencungkil potensi masingmasing, sekumpulan artis-artis seni dan kebudayaan muda tempatan dengan kerjasama Kerajaan Negeri mengambil inisiatif khas menubuhkan Persatuan Kaunseling Usahawan Pulau Pinang atau Penang Entrepreneurs Counseling Society (PECS) di sini baru-baru ini.

Umumnya, PECS juga berperanan berkongsi strategi dan konsep perniagaan dengan golongan belia termasuk ibu tunggal dalam menjana pendapatan isi rumah masing-masing.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi berkata, PECS bukan sahaja dapat meningkatkan taraf keberhasilan negeri, tetapi juga mampu membantu golongan ibu tunggal untuk menyara keluarga.

“Inilah nilai tambah yang ingin Kerajaan Negeri selitkan dalam komuniti di Pulau Pinang yang mana, kita (Kerajaan Negeri) mahukan golongan ibu tunggal khususnya meneruskan hidup dengan menghasilkan pelbagai produk kegunaan harian bagi meningkatkan pendapatan serta pengetahuan mereka.

“Kita menggalakkan ibu tunggal untuk teruskan hidup menyara keluarga tanpa berputus asa,” kata Kok Fooi ketika hadir merasmikan pembukaan PECS di sini baru-baru ini.

PECS yang terletak berhadapan Hotel Sentral, Lorong Kinta di sini adalah hasil inisiatif artis-artis kebudayaan dan kesenian kelahiran Pulau Pinang yang berhasrat melahirkan generasi Pulau Pinang unggul.

Dalam pada itu, PECS yang menjadikan keusahawanan sebagai teras persatuan turut menawarkan kursus-kursus jangka pendek keusahawanan secara percuma, kelas memasak masakan tradisi nyonya Pulau Pinang, kelas sabun buatan tangan, kelas pembelajaran 1+1 antara kanak-kanak dan ibu bapa dan kelas tarian 1+1.

Selain itu, di PECS juga terdapat sudut Brand of Penang, Pinang’s Pinang yang turut menjual rempah kari nyonya, barangan kosmetik semulajadi, barangan buatan tangan dan juga penjagaan diri.

PECS yang diterajui Kok Fooi turut mendapat sokongan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang-perseorangan dalam membantu golongan usahawan belia serta ibu tunggal tempatan untuk lebih berjaya dan berdaya saing.

SALAH seorang artis muda menunjukkan bakat melukis bersempena Majlis Perasmian Pembukaan PECS di sini baru-baru ini.
SALAH seorang artis muda menunjukkan bakat melukis bersempena Majlis
Perasmian Pembukaan PECS di sini baru-baru ini.