Elak kesesakan, implementasi laluan sehala

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Bagi mengurangkan kesesakan lalulintas, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengambil inisiatif menukar arah aliran lalulintas kepada sehala membabitkan sebahagian Jalan Cantomen dari Jalan Kalawei ke Jalan Burma berkuatkuasa sejak 14 Disember lalu di sini baru-baru ini.

Ahli Majlis MPPP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalulintas, Muhammad Sabri Md. Osman berkata, inisiatif tersebut adalah untuk memudahkan urusan dan menyediakan lebih banyak ruang meletak kenderaan kepada para pengguna.

“Hasil tinjauan MPPP mendapati bahawa berlaku kesesakan di kawasan Pulau Tikus di sini setiap hari antaranya disebabkan tindakan para pengguna yang meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan.

“Adalah diharapkan dengan perubahan aliran lalulintas ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesesakan di kawasan tersebut,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pemangku Timbalan Pengarah Kejuruteraan MPPP, Ir. A. Rajendran dan Jurutera Lalulintas, Zainuddin Mohamad Shariff.

Dalam pada itu, Muhammad Sabri berkata, antara jalan lain yang turut ditukar arah aliran lalulintas kepada sehala adalah Lorong Pitt dari Lebuh Chulia ke Lebuh Ah Quee berkuatkuasa pada tarikh sama.

“Penukaran arah aliran lalulintas ini adalah bagi mengurangkan kesesakan di Lorong Pitt dan persimpangan Lebuh Chulia dan Lorong Pitt.

“Pemandu-pemandu adalah dinasihatkan untuk mematuhi arah aliran lalulintas dan larangan-larangan yang telah ditetapkan demi keselamatan orang ramai serta kelicinan aliran trafik di lokasi-lokasi terlibat,” ujarnya.

Sebarang maklum balas boleh dikemukakan kepada zainuddin@ mppp.gov.my atau hubungi di talian 04 – 655 1007.

MUHAMMAD Sabri Md. Osman (tengah) menunjukkan lokasi penukaran arah lalulintas di Jalan Cantomen sambil diperhatikan oleh A. Rajendran (kiri) dan Zainuddin Mohamad Shariff di sini baru-baru ini.
MUHAMMAD Sabri Md. Osman (tengah) menunjukkan lokasi penukaran arah lalulintas di Jalan Cantomen
sambil diperhatikan oleh A. Rajendran (kiri) dan Zainuddin Mohamad Shariff di sini baru-baru ini.