Pejabat MBSP Cawangan Jalan Betek dibuka semula mulai 29 Julai

Admin

PADANG LALANG – Pejabat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Cawangan Seberang Perai Tengah yang terletak di Jalan Betek dekat sini bakal dibuka semula kepada orang ramai mulai 29 Julai 2021.

 

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memaklumkan perkara tersebut pada sidang media yang diadakan melalui platform Facebook Live sejurus meninjau kerja-kerja sanitasi yang dijalankan di premis ini pagi ini.

JAGDEEP Singh Deo (lima dari kanan) bersama-sama Sr. Rozali Mohamud (berkopiah) dan Ahli-Ahli Majlis meninjau kerja-kerja sanitasi yang dijalankan di bangunan Pejabat MBSP Cawangan Jalan Betek di sini pagi ini.

 

Turut serta ialah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli-ahli Majlis, P. David Marshel dan Muhamad Suzuki Ahmad serta ketua-ketua jabatan dan wakil berkaitan.

 

Menurut Rozali, pihaknya menerima Notis Penutupan Pejabat Cawangan di Jalan Betek daripada Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKDSPT) pada 23 Julai lalu berikutan terdapat kes jangkitan COVID-19 di cawangan berkenaan.

 

Susulan penutupan ini, kakitangan yang bertugas di cawangan ini telah diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri dan bekerja dari rumah sepanjang tempoh ini.

 

“Sehingga kini terdapat 18 kes positif melibatkan kakitangan penguatkuasaan yang bertugas di sini dan kesemuanya telah menjalani kuarantin wajib di rumah, cuma seorang kakitangan dihantar ke Pusat Kuarantin Jawi pada 27 Julai 2021.

 

“Selain itu, 31 kakitangan penguatkuasaan yang menjadi kontak rapat juga telah dipakaikan gelang dan menjalani kuarantin wajib 10 hari di rumah.

 

“Oleh itu, saya harap penduduk di Seberang Perai tidak panik kerana pihak MBSP telah mengambil tindakan pantas dan perlu termasuk menyalurkan bantuan sewajarnya seperti bantuan makanan dan ubat-ubatan bagi memastikan mereka menjalani tempoh kuarantin dengan lancar,” ujarnya yang turut memberi jaminan bahawa kebajikan kakitangan MBSP dan keluarga akan terus terjaga dan terpelihara.

 

Dalam pada itu, Rozali turut menyeru agar semua kakitangan MBSP supaya mendaftar diri sebagai penerima vaksin.

 

“MBSP mempunyai seramai 4,015 kakitangan dan sehingga Julai 2021, seramai 1,297 orang telah divaksin. Manakala, seramai 1,540 orang masih menunggu tarikh (untuk mendapatkan vaksin) dan 378 (kakitangan) telah mendapat tarikh.

 

“Walau bagaimanapun, terdapat 800 kakitangan yang tidak berdaftar dan sesi konsultasi telah diadakan kepada mereka ini kerana tidak ada sebab munasabah untuk tidak mendaftar.

 

“Mereka ini (yang tidak berdaftar) hanya dibenarkan menjalankan tugas di pejabat dan tidak dibenarkan bertugas di lapangan atau kerja lebih masa.

 

“Sekiranya kadar jangkitan meningkat saya terpaksa mengeluarkan arahan supaya tidak dibenarkan mereka ini bekerja di lapangan…saya juga bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan kesihatan semua kakitangan di samping menjaga keselamatan rakyat serta kebersihan bandar raya Seberang Perai,” jelasnya.

 

Sementara itu, Jagdeep berharap semua rakyat Pulau Pinang dapat terus memberikan kerjasama menangani perebakan jangkitan COVID-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.

 

Seramai 1.2 juta rakyat Pulau Pinang telah mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin dan ini menjadi tanggungjawab semua demi memastikan keselamatan dan kesihatan diri, keluarga serta komuniti sekeliling kita terpelihara.

 

“Meskipun sasaran kita kini adalah untuk mencapai imuniti kelompok, namun perlu diingatkan bahawa mereka yang telah divaksinkan masih perlu mematuhi SOP,” tegasnya.

 

Dalam perkembangan berbeza, menjawab soalan yang diajukan oleh wartawan berhubung status kompaun bagi pelanggaran SOP selepas Ordinan Darurat dibatalkan, Jagdeep memaklumkan bahawa isu tersebut masih diperdebatkan.

 

“Sekiranya (Ordinan Darurat) dibatalkan seperti dinyatakan sebelum ini maka kompaun tidak boleh dikenakan atas kesalahan ketidakpatuhan SOP.

 

“Tetapi itu tidak bermaksud SOP diabaikan kerana SOP lazim seperti pemakaian pelitup muka, saringan suhu badan dan imbas kod QR di MySejahtera untuk rakyat masih perlu diteruskan dan dipatuhi sepanjang masa demi mengelakkan perebakan jangkitan virus.

 

(Dan) untuk itu, pihak berkuasa tempatan seperti MBSP dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempunyai kuasa untuk mengenakan kompaun atau lain-lain tindakan mengikut akta-akta kecil di bawahnya.

 

“Akta-akta ini masih boleh diguna pakai bagi tujuan memastikan pematuhan SOP berterusan kerana SOP disediakan oleh pihak kementerian (dan agensi Persekutuan) untuk pelbagai sektor dan peringkat,” responsnya.

 

Terdahulu, timbul persoalan berhubung status sah notis kompaun yang dikeluarkan atas kesalahan pelanggaran SOP selepas 21 Julai berikutan pembatalan Ordinan Darurat.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD