Program saringan massa PSC19 Fasa 2 dilaksanakan setiap hari mulai 30 Julai- Jagdeep

Admin

PADANG LALANG – Program saringan massa bersasar secara percuma, Penang Saring COVID-19 (PSC19) Fasa 2 bakal dilaksanakan setiap hari di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) terpilih mulai 30 Julai ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa tujuan program hasil inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu dilaksanakan setiap hari adalah bagi mempercepatkan sasaran 40,000 warga Pulau Pinang menjalani saringan dicapai.

 

“Sejak program PSC19 dimulakan (pada 5 Julai lalu, iaitu Fasa 1) seramai 13,309 individu telahpun berdaftar membabitkan 15 KADUN di kedua-dua bahagian iaitu pulau dan Seberang Perai.

 

(Dan) daripada jumlah tersebut 11,330 individu telah disaring yang mana 96.46 peratus atau 10,929 individu didapati negatif manakala 401 individu atau 3.53 peratus positif.

 

“Mereka yang positif ini telah diarahkan untuk menjalani ujian saringan RT-PCR (saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik), hasilnya 201 individu disahkan positif dan mereka ini perlu menjalani kuarantin sama ada di Pusat Kuarantin Risiko Rendah COVID-19 (PKRC) atau di kediaman masing-masing.

 

“Selain itu, sebanyak 166 ujian saringan RT-PCR melibatkan Dewan Serbaguna Bandar Putra Bertam dan Stadium Batu Kawan masih belum diketahui keputusan ujian,” ujarnya pada sidang media yang diadakan menerusi platform Facebook Live di perkarangan Pejabat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Cawangan Seberang Perai Tengah (SPT), Jalan Betek dekat sini pagi ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli-ahli Majlis, P. David Marshel dan Muhamad Suzuki Ahmad serta ketua-ketua jabatan dan wakil berkaitan.

 

Menurut Jagdeep, pelaksanaan Fasa 1 PSC19 sebelum ini telah melibatkan 26 KADUN yang ditentu pilih lokasinya oleh Jawatankuasa Pemilihan Kawasan Berisiko.

 

“Bagi pelaksanaan Fasa 2 pula, program PSC19 akan melibatkan 14 KADUN termasuk kawasan hotspot dan KADUN yang belum mencapai sasaran 1,000 saringan.

 

Mulai 30 Julai ini sehingga 6 Ogos 2021 sebanyak 11 KADUN akan terlibat di bahagian pulau dan Seberang Perai.

 

“Oleh itu, saya ingin menyeru kepada semua supaya mendaftarkan diri (untuk sesi saringan) secara percuma di lokasi berdekatan kerana ini merupakan salah satu usaha bagi memutuskan penularan jangkitan (COVID-19) selain daripada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan menerima vaksin.

 

“Walaupun sudah divaksin, anda masih perlu mengamalkan disiplin kendiri yang tinggi dan patuhi SOP asas seperti memakai pelitup muka, saringan suhu badan dan mengimbas kod QR di MySejahtera,” tegasnya.

 

Berikut adalah senarai KADUN yang terlibat dalam Fasa 2 PSC19:

  • 30 Julai 2021 – KADUN Bukit Tengah, KADUN Padang Lalang dan KADUN Pulau Betong

  • 31 Julai 2021 – KADUN Sungai Bakap dan KADUN Teluk Bahang

  • 1 Ogos 2021 – KADUN Jawi, KADUN Sungai Acheh dan KADUN Batu Maung

  • 2 Ogos 2021 – KADUN Sungai Puyu

  • 3 Ogos 2021 – KADUN Bagan Dalam

  • 4 Ogos 2021 – KADUN Teluk Air Tawar

  • 5 Ogos 2021 – KADUN Komtar

  • 6 Ogos 2021 – KADUN Pantai Jerejak

 

Maklumat lanjut berhubung pendaftaran program PSC19 ini, sila layari laman sesawang https://penangsaring.selangkah.my atau melalui Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) / Penyelaras KADUN masing-masing.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD