Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri hantar bantuan kepada mangsa banjir Selangor

Admin

BERTAM – Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri menyalurkan bantuan makanan dan kelengkapan bernilai kira-kira RM30,000 kepada mangsa-mangsa banjir di negeri Selangor.

Lay Hock Peng.

Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng berkata bahawa pihaknya dengan kerjasama Parti Tindakan Demoratik (DAP) Kepala Batas telah menubuhkan satu pasukan khas bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Selangor.

“Setakat ini, kami berjaya mengumpulkan 10,000 peket biskut dan roti, empat tan metrik sayur-sayuran segar, kopi dan teh pracampuran (30,000 peket), 300 botol air minuman, tuala wanita serta 20,000 unit pelitup muka.

“Bantuan ini akan dihantar ke Selangor pada Khamis (23 Disember 2021) menggunakan dua buah lori dan tiga kereta serta akan dibantu oleh 12 anggota sukarelawan.

“Kita hanya hantar bantuan makanan ini di pusat pengumpulan di Kajang serta Hulu Selangor, dan kerja-kerja agihan akan diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudah ada di sana.

Pasukan Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri sedang memunggah barangan makanan yang akan dihantar ke Selangor esok.

“Ini kerana kami dimaklumkan, bukan semua pihak dibenarkan masuk ke kawasan bencana untuk agihan bantuan atas faktor keselamatan dan kelancaran lalu lintas,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi dan Ng Yee Siang; Pegawai Seranta Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bertam, Tan Hock Lai serta Setiausaha Persatuan Pekebun Kecil Pulau Pinang, Cheng Siew Yang.

Mengimbas bencana sama yang melanda Pulau Pinang pada tahun 2017, Hock Peng berkata bahawa pada masa tersebut penduduk di negeri ini banyak menerima bantuan daripada sukarelwan dari negeri Selangor.

“Pada masa itu, mereka dari Selangor datang ke Pulau Pinang dan masuk ke ceruk-ceruk kampung untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan kepada penduduk di negeri ini.

“Jadi sekarang masa untuk kita membalas semula budi baik mereka dengan menghantar sebanyak mungkin bantuan yang diperlukan oleh penduduk di sana,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Hock Peng menzahirkan penghargaan buat anggota DAP Kepala Batas dan DAP Kebangsaan yang turut membantu mengumpulkan barangan makanan dan keperluan yang diperlukan dalam misi bantuan tersebut.

Sebahagian barangan yang akan dihantar kepada mangsa banjir.

“Terima kasih juga diucapkan kepada syarikat Xin Tong Seng Sdn. Bhd. kerana menyediakan lori untuk tujuan penghantaran serta kepada Persatuan Pekebun Kecil Pulau Pinang yang sudi menjual sayur-sayuran mereka dengan harga yang istimewa kepada kami,” katanya lagi.

Hock Peng berkata, bantuan yang disalurkan tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya lebih banyak keperluan dalam pelbagai bentuk akan dihantar ke negeri-negeri yang dilanda bencana banjir dari semasa ke semasa.

“Sekarang kita beri bantuan makanan dahulu, dan selepas ini kita akan hantar lebih banyak keperluan lain seperti peralatan mencuci, pakaian serta apa-apa yang dirasakan perlu,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Hock Peng memberitahu bahawa projek pembinaan tempat letak kereta dekat Hospital Kepala Batas (HKB) kini hampir siap sepenuhnya.

Beliau berkata, projek yang menelan kos RM19,980 itu adalah dibiayai sepenuhnya oleh Pejabat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

“Kemudahan ini disediakan atas permintaan daripada pihak HKB kepada pihak kami (Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri) yang ketika ini berdepan masalah kekurangan tempat letak kereta untuk kakitangan mereka.

Tempat letak kereta untuk kemudahan kakitangan Hospital Kepala Batas.

“Jadi, hasil daripada perbincangan dengan Ketua Menteri beliau bermurah hati menyalurkan peruntukan untuk menyediakan kemudahan parkir ini yang boleh memuatkan lebih 30 buah kenderaan apabila siap kelak.

“Kerja-kerja pembinaan sudah hampir siap sepenuhnya, sekarang hanya perlu sempurnakan bahagian laluan masuk dan pemasangan empat unit lampu limpah bagi kemudahan kakitangan HKB,” jelasnya semasa mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan.

Beliau berkata, kemudahan tersebut mungkin akan ditambah pada masa akan datang sekiranya mendapat permintaan daripada pihak hospital.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kontraktor, Sri Tanjong Bina Sdh. Bhd. kerana melakukan yang terbaik untuk menyiapkan projek ini.

“Malah, saya difahamkan bahawa pihak syarikat (kontraktor) menggunakan peruntukan mereka sendiri untuk memperluaskan lagi tapak tempat letak kereta ini untuk memuatkan lebih banyak kenderaan kakitangan hospital,” katanya lagi.

Turut serta dalam lawatan tersebut adalah Timbalan Pengarah Hospital Kepala Batas, Dr. Hor Chee Peng dan Pengarah Urusan Sri Tanjong Bina Sdn. Bhd., Ong Kim Kang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR